Bahasa

Tamrin Ghafar, anak bekas TPM, sertai PAS malam ini

SHAH ALAM, 11 Ogos — Datuk Tamrin Ghafar, anak kepada bekas timbalan perdana menteri (TPM) Malaysia Tun Ghafar Baba, akan menyertai PAS pada malam ini dan akan menyerahkan borang penyertaannya di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak.

Mohamad Sabu: Diramalkan akan menerima borang keahlian dari Tamrin. — Foto failMohamad Sabu: Diramalkan akan menerima borang keahlian dari Tamrin. — Foto failTamrin sebelum ini telah berceramah di pentas Pakatan Rakyat (PR) diseluruh negara walaupun beliau masih lagi ahli Umno.

Menurut seorang petugas PAS yang tidak mahu namanya dikenali, Tamrin akan menyerahkan borang keahliannya kepada timbalan presiden parti tesebut.

“Tamrin akan menyerahkan borang keahliannya kepada timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu,” katanya apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

“Sebelum inipun dia dah selalu berceramah dengan Abang Mat (Mohamad Sabu) merata tempat.”

Tamrin adalah bekas ahli parlimen Batu Berendam di Melaka yang kini dinamakan Bukit Katil.

Ayahnya, Ghafar, adalah orang kuat Umno yang bersama parti itu semenjak zaman pemerintahan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dan pernah menjadi ketua menteri Melaka dizaman bapa kemerdekaan Malaysia itu.

Tamrin sebelum ini pernah mendakwa Umno semakin hilang arah daripada perjuangan asal di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Umno sudah lari dari perjuangan asal yang mana mendahulukan rakyat,” kata Tamrin dalam sebuah ceramah PR di Kuala Lumpur.

“Di bawah Najib, Umno tidak lagi membela rakyat tetapi merampas hak mereka.”

Pada 26 Jun lalu, Tamrin telah diminta oleh jawatankuasa disiplin Umno untuk menghantar surat tunjuk sebab kerana mengkritik kepimpinan Najib secara terbuka.

PAS telah menerima penyertaan keahlian daripada pelbagai golongan seperti bekas pegawai kerajaan, artis dan terbaru bekas orang nombor tiga dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari.

Tamrin adalah ahli Umno veteran kedua meninggalkan Umno dalam bulan Ramadan tahun ini.

Sebelum ini, ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, yang juga ahli majlis tertinggi Umno, meninggalkan parti tersebut.

Lajim juga merupakan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika meninggalkan Umno.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.