Bahasa

Tarik balik saman AES, pulangkan denda, bekas peguam negara memberitahu Gani Patail

Tan Sri Abu Talib Othman menggambarkan sistem penguatkuasaan trafik diswastakan yang dilancarkan September lepas sebagai satu kes jelas kerajaan bersikap sambil lewa tanpa rasa hormat kepada kedaulatan undang-undang atau hak asas rakyat. — Gambar oleh Siow Feng SawTan Sri Abu Talib Othman menggambarkan sistem penguatkuasaan trafik diswastakan yang dilancarkan September lepas sebagai satu kes jelas kerajaan bersikap sambil lewa tanpa rasa hormat kepada kedaulatan undang-undang atau hak asas rakyat. — Gambar oleh Siow Feng SawKUALA LUMPUR, 1 Feb — Pejabat Peguam Negara seharusnya menarik kembali semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan memulangkan semula wang saman dibayar oleh pesalah trafik yang didenda kerana sistem diswastakan itu terbukti tidak befungsi dengan baik, kata Tan Sri Abu Talib Othman memberikan pandangannya berhubung topik panas itu menjelang Pilihan Raya 2013.

Pernah berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun, beliau yang sekarang seorang penjawat awam bersara menggambarkan sistem penguatkuasaan trafik diswastakan yang dilancarkan September lepas sebagai satu kes jelas kerajaan bersikap sambil lewa tanpa rasa hormat kepada kedaulatan undang-undang atau hak asas rakyat.

“Ia adalah benar-benar tidak adil dan tidak munasabah untuk membenarkan saman dikeluarkan tetapi tidak membenarkan pendakwaan kes itu jika seseorang atau orang-orang yang disaman ingin mencabar tindakan pihak berkuasa itu.

“Di manakah mereka pergi untuk mendapatkan keadilan? Mahkamah mesti bertindak secara bebas dan tidak menerima arahan daripada Pendakwa Raya,” kata beliau dalam temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.

Pejabat Peguam Negara dan kerajaan persekutuan dikritik hebat bulan lepas diatas pembekuan pendakwaan pesalah trafik di bawah AES akan tetapi membenarkan sistem itu untuk terus beroperasi.

Pembekuan saman itu diarahkan selepas bantahan terhadap sistem tersebut yang telah mengeluarkan 300,000 saman sejak ia bermula pada 23 September tahun lalu.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang meluas dan mendorong pentadbiran Najib memikirkan untuk menghentikan pelaksanaan sistem yang menyebabkan pengguna menerima dua saman termasuk dari perangkap kelajuan polis di sepanjang lebuh raya.

Tidak berapa lama selepas pembekuan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengatakan sistem AES akan beroperasi seperti biasa dan saman akan terus dikeluarkan, membangkitkan lebih banyak kritikan dari mereka yang menentang sistem tersebut.

“Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu,” kata Kong pada 26 Disember.

Namun, Kong turut mengakui saman AES tersebut bermasalah dari sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan tersebut.

Bulan lalu, Pejabat Peguam Negara mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.

Dalam satu kenyataan, mereka bagaimanapun menegaskan saman melalui AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Abu Talib, walau bagaimanapun, menyimpan kritikan terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar), yang dilaporkan telah mengakui kelemahan dalam AES.

Abdul Gani dilaporkan berkata saman masih lagi sah akan tetapi mengakui terdapat kelemahan dalam aspek undang-undang saman tersebut dan pejabatnya masih lagi dalam perbincangan tentang bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Pada 13 Januari, akhbar berbahasa Melayu Mingguan Malaysia melaporkan peguam tertinggi negara itu keputusan berkenaan dengan ribuan saman yang telah dikeluarkan setakat ini masih tidak boleh didedahkan kerana ianya melibatkan beberapa jabatan.

“Hakikat beliau mengatakan pejabatnya memerlukan masa untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan AES serta memastikan semua peraturan dan tatacara berada di tempatnya  sebelum prosiding mahkamah dimulakan adalah satu pengakuan bahawa sistem tersebut tergesa-gesa dilaksanakan tanpa memikirkan dengan mendalam untuk undang-undang dan hak rakyat,” katanya.

Menurut Abu Talib, kenyataan Abdul Gani membuktikan sistem AES tidak diperincikan dengan teliti terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum ianya dilaksanakan.

“Jika ia benar, bahawa semua peraturan dan tatacara masih belum tersedia, perkara yang betul untuk beliau lakukan adalah untuk menarik balik semua saman yang dikeluarkan dan memulangkan semula semua denda yang dibayar, jika ada,” kata beliau yang pernah mempengerusikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi JPJ berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang had laju berkata, mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda untuk pemandu ingkar.

Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) telah menggunakan isu ini menjelang kempen pilihan raya yang perlu diadakan pada April selepas mandat Barisan Nasional (BN) tamat.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.