Bahasa

Tawaran manifesto menarik bakal pengundi muda Johor ke ceramah Pakatan

Oleh Mohd Farhan Darwis

May 02, 2013

PR mula mensasarkan kawasan Parlimen di Johor apabila Kit Siang mengetuai usaha pembangkang untuk menawan Johor dengan meletakkan beliau di kerusi Parlimen Gelang Patah menentang Datuk Ghani Othman. - Gambar oleh Choo Choy MayPR mula mensasarkan kawasan Parlimen di Johor apabila Kit Siang mengetuai usaha pembangkang untuk menawan Johor dengan meletakkan beliau di kerusi Parlimen Gelang Patah menentang Datuk Ghani Othman. - Gambar oleh Choo Choy May

JOHOR BARU, 2 Mei — Tawaran Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ menjadi daya penarik pengundi muda Melayu di negeri selatan tanah air itu untuk bersama-sama menyertai ceramah gabungan pembangkang di Larkin, malam tadi.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, pengundi-pengundi muda yang pertama kali mengundi pada 5 Mei depan berkata mereka sedang membuat perbandingan antara tawaran Barisan Nasional (BN) dan PR, untuk membuat keputusan bagi memilih pemimpin mereka dalam Pilihan Raya 2013.

“Saya datang malam ini sebab nak tahu tawaran kedua-dua belah pihak ... apa perubahan yang dijanjikan, dalam kandungan manifesto apa yang dijanji mereka,” kata Siti, 23.

Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengambil cuti seminggu semata-mata untuk mengundi bagi PRU13 itu juga berkata, selain menghadiri ceramah anjuran PR, beliau turut menghadiri program BN bagi membolehkan beliau membuat penilaian sebelum membuat keputusan mengundi satu-satu calon.

“Saya pergi ke program BN juga, dan setelah diteliti, saya dapati PR lebih banyak membincangkan soal polisi dan janji mereka berbanding BN yang lebih banyak mengkritik peribadi sesetengah pihak,” katanya yang datang menaiki bas dari kediaman keluarganya di Taman Molek.

Mohd Firdaus Buniran, 25, berasal dari Benut, Pontian bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insider, gambaran sebenar yang tidak dimainkan di media arus media perdana menjadi penyebab utama untuknya menghadiri ceramah PR.

“Saya datang nak dapatkan gambaran sebenar. Kalau dah sampai TV3 dah kena manipulasi ... Saya juga ingin melihat tawaran-tawaran yang diberikan PR,” katanya, yang juga mengakui merupakan penyokong BN sebelum ini.

“Bila saya pergi sendiri, saya akan dapat gambaran sebenar,” katanya merujuk kepada suasana ceramah dan sambutan yang diberikan kepada pembangkang.

“Persepsi masyarakat Johor adalah kubu kuat Umno ... jadi saya datang ke sini untuk dapatkan keadaan sebenar yang berlaku, orang sibuk laungkan ‘Ubah’, dan saya nak tengok sendiri,” kata Nazri Bakri, 25.

Beliau yang berasal dari Simpang Renggam berkata, atas dasar tanggungjawab, apa yang diperolehinya dalam ceramah malam itu akan turut dikongsikan bersama keluarganya.

“Saya datang sini bukan untuk saya seorang ... saya akan terangkan kepada keluarga saya,” katanya.

Ceramah PR malam tadi di perkarangan tempat letak kereta Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, yang terletak di kawasan Parlimen Johor Baru di sini turut menyaksikan kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, dan Ketua PKR Johor Datuk Dr Chua Jui Meng berceramah di hadapan lebih 5,000 penduduk.

Balam ceramahnya, Dr Chua juga turut memuji penyandang kerusi berkenaan Tan Sri Shahrir Abdul Samad, yang menurutnya mempunyai imej yang bersih dan kredibel, namun bernaung di bawah panji-panji yang salah.

“Shahrir itu lain dari yang lain, tetapi (beliau) dalam parti yang salah.

“Rakyat sudah tentu akan pilih parti untuk tegakkan keadilan di Malaysia,” katanya dan menambah, tidak cukup dengan memilih Shahrir yang mempunyai peribadi yang baik, sebaliknya penduduk di Parlimen Johor Baru harus menukar kepada PR.

Malah, ketika sesi ceramah pemimpin utama PR juga tidak menyebut berkenaan kelemahan Sharir, sebaliknya mereka lebih kerap mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai isu dakwat kekal ketika pengundian awal pasukan keselamatan tempoh hari.

PR mula mensasarkan kawasan Parlimen di Johor apabila Kit Siang mengetuai usaha pembangkang untuk menawan Johor dengan meletakkan beliau di kerusi Parlimen Gelang Patah menentang calon BN, Datuk Ghani Othman, bekas menteri besar selama 18 tahun.

Malah, Salahuddin Ayub juga dikatakan bakal menjadi menteri besar sekiranya PR berjaya menawan kubu kuat Umno itu dengan meletakkan beliau di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi