Tema kemerdekaan Kedah berbeza dengan negeri Pakatan lain
KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Kedah akan tetap menggunakan tema kemerdekaan berbeza dari negeri-negeri PR lain, iaitu “55 Tahun Merdeka Terus Berbakti” berbanding “Sebangsa, Sejiwa, Senegara” yang diumumkan oleh pemimpin PR sebagai alternatif kepada “Janji Ditepati” yang digunakan oleh kerajaan pusat.
Abd Ghani Ahmad, exco penerangan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat exco sejurus majlis pelancaran sambutan kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu.
“Kita hormati keputusan Sekretariat PR yang mengumumkan tema ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’ pada 1 Ogos lalu. Namun pelancaran tema Kedah dibuat lebih awal dan tidak wajar untuk menarik balik,” katanya dalam laporan akhbar Sinar Harian.
Abd Ghani percaya tidak timbul pertikaian dalam penggunaan tema itu kerana hasrat asal adalah untuk memilih tema berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu “Janji Ditepati”.
“Kedah kekalkan tema ini kerana sudah diwar-warkan sejak awal, tambahan pula pemasangan kain rentang sudah dibuat. Yang penting tema kita berbeza dengan Pusat, yang jelas membuktikan diselitkan dengan kempen politik Barisan Nasional (BN),” katanya.
Tema “Terus Berbakti” dicadangkan oleh jawatankuasa induk Sambutan Hari Kemerdekaan dan mendapat persetujuan menteri besar (MB), Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
PR mengumumkan tema “Sebangsa Sejiwa Senegara” pada 1 Ogos lalu, yang dipilih oleh Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan PR daripada 250 cadangan yang diterima daripada orang ramai.
Pengerusi jawatankuasa terbabit, Datuk A. Samad Said berkata, tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam “Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa” diubah supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan diperhalusi sebaik mungkin.
Menurut beliau yang juga pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil itu, tema itu dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik.




