Bahasa

Tempoh sah tebus rebat RM200 pakej komunikasi belia dilanjutkan sehingga 3 bulan

CYBERJAYA, 6 Feb — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh untuk penebusan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) dari 1 bulan kepada 3 bulan bermula hari ini.

“Mereka yang telah berjaya mendaftar dan telah menerima pengesahan yang berjaya pada awal Januari lalu tidak perlu mendaftar semula kerana tempoh sah telah dilanjutkan ke 3 bulan dari tarikh pendaftaran asal dan bukannya lagi 1 bulan.

Kami dalam proses menghantar emel kepada semua yang telah mendaftar bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu ini,” kata Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi, Pengerusi SKMM.

Menurut beliau, syarikat-syarikat telekomunikasi dan wakil-wakil penjual yang dilantik juga telah dimaklumkan mengenai lanjutan tempoh tersebut.

Sehingga hari ini, lebih 440,000 belia yang berumur 21 hingga 30 tahun telah berjaya mendaftar untuk mendapatkan rebat RM200 dan daripada jumlah tersebut, hampir 60,000 telah membeli telefon pintar baharu.

Setakat ini, terdapat lebih 4,500 wakil penjual seluruh negara yang menawarkan hampir 70 model telefon pintar.

Skim Pakej Komunikasi Belia ini telah dilancarkan pada 1 Januari lalu. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.