Bahasa

Terpulang kepada Isa jika tak mahu minta maaf, kata ketua peneroka Felda

Oleh G. Manimaran
November 30, 2011

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Ketua peneroka Felda menyerahkan kepada Tan Sri Isa Samad jika beliau berkeras tidak mahu meminta maaf atas kata-kata berbaur penghinaan, yang dilemparkan ke atasnya lebih dua minggu lalu dan akan mengambil tindakan mahkamah jika pengerusi itu enggan memenuhi kata dua mereka.

Semalam, Isa (gambar) menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Shamsuddin Othman, yang mendakwa Pengerusi Felda itu telah menghina beliau selaku ketua peneroka pada satu majlis di Negeri Sembilan 12 November lalu.

“Itu terpulang kepada Tan Sri Isa, kalau itu pendirian beliau terpulang kepada dia... kami akan melaksanakan apa yang sudah diputuskan (untuk menyaman) selepas tempoh (14 hari yang diberi) berakhir.

“Masih ada masa lagi, kita tunggu, kita beri tempoh yang sudah diputuskan. Kalau tidak mahu meminta maaf jugak, terpulang, selepas 14 hari kami akan menentukan tindakan susulan,” kata Shamsuddin ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

Ketika ditanya sama ada mahu mendesak Isa sekali lagi ekoran reaksinya semalam, Shamsuddin memberitahu: “Tidak, tidak. Kami tidak mahu berbuat demikian. Kalau buat macam itu, nanti orang kata kita ini merayu pula.”

Katanya, peneroka Felda tidak mahu turun sampai ke peringkat itu.

“Saya tidak berharap begitu. Terpulang kepada beliau,” katanya.

“Terpulang kepada beliau, kalau itulah pendirian beliau,” katanya yang turut mengakui ada usaha di pihak tertentu termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mahu menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya pun ada dengar ada pihak-pihak tertentu mahu berjumpa dengan saya, mahu menyelesaikan,” katanya lagi.

“Saya kena ada mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) sebab kenyataan Tan Sri Isa bukan sahaja menghina saya, tetapi juga seluruh peneroka Felda. Oleh itu, saya kena mengadakan perbincangan dengan mereka,” kata Shamsuddin yang juga pengerusi JKPP.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Isa yang mengetuai Felda sejak setahun lalu berkata, beliau tidak peduli dengan ugutan Shamsuddin yang mahu beliau meminta maaf dalam masa 14 hari atau menghadapi tindakan saman.

“Saman-menyaman ini adalah perkara biasa. Ada anak saman ayah, dan macam macam saman di mahkamah. Saya tidak gentar jika beliau mahu saman saya,” kata beliau.

Shamsuddin, yang juga ahli lembaga pengarah Felda memberi masa 14 hari kepada Isa yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah 12 November lalu.

Shamsuddin berkata kenyataan menghina pemimpin JKPP Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.

“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini semalam.

Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JKPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.

Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pas Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.

Shamsudin , 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias.

“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka, di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.

Isa merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan dan menteri kerajaan pusat.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi