Bahasa

Tertekan sejarah hitam bersama PAS punca sebenar Kazim tolak MT Umno

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
December 13, 2013

Ustaz Kazim tidak mahu pelantikannya sebagai MT akan menekan segala usaha yang dilakukannya selama ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.Ustaz Kazim tidak mahu pelantikannya sebagai MT akan menekan segala usaha yang dilakukannya selama ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.Tertekan dengan sejarah hitam hubungannya dengan PAS dipercayai menjadi punca Mohammad Kazim Elias atau Ustaz Kazim mengambil tindakan menolak pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Kazim berkata, beliau bimbang jika menerima pelantikan itu, semua tindakan dan apa yang diperolehinya nanti adalah kerana beliau ahli anggota MT parti Melayu terbesar itu dan akan menekan segala usaha dibuatnya sekarang.

"Jika saya menerima jawatan ini, orang akan fitnah saya dan juga Perdana Menteri dengan pelbagai perkara hanya kerana saya ahli Majlis Tertinggi Umno," kata Kazim dalam satu temu ramah eksklusif bersama The Malaysian Insider di pejabatnya di Ipoh awal minggu ini.

Baru-baru ini, Kazim dilantik sebagai anggota MT dan diumumkan sendiri oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum pelantikan dibuat, sekurang-kurangnya empat panggilan telefon dibuat oleh pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Najib sendiri kepada Kazim.

Najib melantik Kazim walaupun melanggar perlembagaan Umno kerana hanya mereka yang menjadi ahli parti itu selama sekurang-kurangnya tiga tahun boleh dilantik ke jawatan ini.

Kazim, seorang penceramah agama dan motivasi yang sangat popular melalui rancangan TV di Astro Oasis dan juga di kalangan masyarakat khasnya di Perak khasnya di kalangan wanita.

Kazim mengaku 3/4 daripada pengikutnya adalah golongan wanita kerana isu kekeluargaan adalah topik kegemarannya.

Namun selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Kazim memaklumkan beliau terpaksa menolak jawatan itu walaupun namanya sudah diumumkan sebagai anggota MT Umno yang baru dilantik.

Kazim tidak pernah menjadi ahli Umno akan tetapi menyertai PAS bersama dengan Datuk Dr Hasan Ali pada tahun 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas menyertai PAS, beliau terpaksa meninggalkan segala-galanya termasuk gaji, pendapatan dan sebagainya sehingga terpaksa menjadi imam dengan gaji RM500 sebulan.

Namun kata Kazim, hubungannya dengan PAS keruh bermula apabila beliau terpaksa menolak menjadi calon parti Islam itu pada pilihan raya umum 2004 kerana calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu merupakan abangnya sendiri.

Atas permintaan ibunya, Kazim menolak permintaan PAS kerana tidak mahu bertembung dengan abangnya sendiri dalam pilihan raya dan tidak berkempen untuk parti Islam itu.

Hubungan bersama PAS bertambah parah apabila Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjemputnya memberikan kuliah mingguan di rumahnya.

"Sejak itu, saya menerima pelbagai kata nista daripada PAS hatta terhadap keluarga saya," katanya.

Beliau dipecat daripada PAS pada hujung Ogos 2013 setelah perbincangan mengenainya dimulakan pada bulan Mei sebaik sahaja selesai pilihan raya umum ke 13.

Kazim berkata beliau tidak pernah dipanggil ataupun dihadapkan ke mana-mana jawatankuasa PAS bagi membela diri.

Dia juga menegaskan tidak pernah menerima sebarang surat pemecatan daripada PAS.

Kazim jelas kelihatan bimbang, jika dia menerima jawatan MT Umno kali ini, tekanan kepadanya semakin teruk lagi kerana kebanyakan pelajarnya kini terdiri daripada penyokong atau anak kepada anggota PAS.

Semua ini berlaku kerana sikap tidak berpihak kepada  parti yang diambilnya selama ini.

Kazim kelihatan sangat yakin dengan Najib sehingga meletakkan gambar besar beliau bersama Perdana Menteri, Zambry dan pelajarnya di depan meja kerja di pejabat beliau.

"Yang jelas, kata Datuk Seri (Najib), sekarang saya hanya boleh bercakap saja tetapi jika jadi anggota MT, saya ada kuasa dan ada peruntukan untuk melaksanakan apa yang saya cakapkan," katanya.

Ustaz Kazim lebih senang menjalankan tugas sebagai pendakwah bebas. Gambar The Malaysian Insider.Ustaz Kazim lebih senang menjalankan tugas sebagai pendakwah bebas. Gambar The Malaysian Insider.Kazim juga jelas sangat sayangkan sekolahnya iaitu Pusat Pendidikan Al Barakah yang terletak di Manjoi, Ipoh dan bimbang jika beliau menerima jawatan itu akan menjejaskan sekolahnya.
Kazim adalah pengetua dan pengerusi Pusat Pendidikan Al Barakah, sebuah pusat pendidikan Islam yang kelihatan mewah dengan pelbagai kemudahan yang hebat dan lengkap di pinggir bandaraya Ipoh.

Selain mempunyai sebuah bas yang cantik, di dalam garajnya juga ada kereta Mercedes mewah, sebuah kereta Toyota Alphard, tiga buah van dan juga kemudahan perniagaan dan pendidikan yang baik.

Menurut Kazim, antara yang Najib mahu beliau lakukan sebagai anggota MT Umno adalah untuk membantu kerajaan mengubah tingkah laku anak muda, terlibat dalam menjadikan filem dan drama agar lebih Islamik dan mengkaji sistem pendidikan sepanjang hayat sebagaimana beliau lakukan sekarang.

Kazim memberikan empat sebab kenapa dia menolak jawatan itu iaitu sayangkan sekolahnya, takut dikaitkan segala-galanya dengan Umno, bertekad untuk menjadi pendakwah mulai 28 November lalu dengan meninggalkan ceramah di sana sini dan tidak tahan menerima tekanan masyarakat. – 13 Disember, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi