Bahasa

Tiada kelulusan projek nadir bumi di Bukit Merah, kata Perak

Oleh Clara Chooi
April 28, 2011
Latest Update: April 29, 2011 05:09 am

KUALA LUMPUR, 28 April — Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjelaskan kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang projek nadir bumi di Bukit Merah kepada mana-mana syarikat.

PKNP, sayap pelaburan negeri Perak berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 April dengan CVM Minerals Limited dari Hong Kong hanya membenarkan firma itu untuk mengkaji elemen daya maju operasi perlombongan nadir bumi di Bukit Merah.

“Kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan atau eksplorasi mengenai viabiliti perlombongan nadir bumi.

“PKNP dan CVM tidak berhasrat untuk membangunkan apa-apa projek memproses nadir bumi di Perak,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Samsudin Hashim dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, tempoh hayat MoU itu hanya enam bulan dan akan terbatal secara automatik jika firma itu tidak memperoleh sebarang kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan atau jika projek itu tidak berdaya maju.

Samsudin juga berkata, tiada “kesan terikat” MoU ke atas kedua-dua pihak dan CVM akan menanggung keseluruhan kos kajian daya maju.

“Jika kajian daya maju itu menyentuh kemungkinan diadakan perkongsian, ia akan bergantung pada kelulusan daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam laporan pagi tadi, Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir (gambar) memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan mendapatkan penjelasan daripada sayap pelaburan kerajaan negeri ekoran laporan bahawa satu perjanjian telah dibuat dengan firma dari Hong Kong untuk menerokai dan melombong nadir bumi di negeri itu baru-baru ini — perkembangan yang menimbulkan kebimbangan baru selepas tragedi Bukit Merah.

Zambry menekankan bahawa perjanjian dibuat itu hanya satu memorandum persefahaman antara PKNP dan CVM Minerals Limited dari Hong Kong.

Bagaimanapun menurutnya PKNP seharusnya telah memaklumkan beliau sebelum menandatangani MoU seumpama itu memandangkan ia membabitkan kepentingan ramai.

Sebuah syarikat Hong Kong dan kerajaan Perak dilaporkan telah bersetuju untuk menerokai dan melombong nadir bumi di negeri itu — perkembangan terbaru di sebalik kontroversi loji pemprosesan Lynas Corporation di Gebeng, Pahang.

Pemakluman bertarikh 18 April kepada Bursa Saham Hong Kong menunjukkan CVM Minerals Limited telah mengumumkan yang ia telah menyertai MoU dengan PKNP untuk menjalankan projek itu di Bukit Merah dekat Ipoh.

Syarikat Hong Kong itu, menerusi subsidiari CVM Metal Recycle Sdn Bhd telah memohon kepada pejabat tanah dan galian negeri satu lesen untuk menerokai kawasan seluas 250 hektar bagi melombong nadir bumi.

Bukit Merah merupakan kawasan bagi loji nadir bumi di Malaysia 20 tahun lalu, yang masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan RM300 juta.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi