Bahasa

Tiada kes H7N9 dilaporkan setakat ini

Liow berkata simptom wabak berkenaan hampir sama dengan wabak H1N1 iaitu penghidapnya antara lain akan mengalami sakit perut dan demam panas berpanjangan. - Gambar failLiow berkata simptom wabak berkenaan hampir sama dengan wabak H1N1 iaitu penghidapnya antara lain akan mengalami sakit perut dan demam panas berpanjangan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR, 3 April — Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan tiada kes selesema burung jenis H7N9 dilaporkan dalam negara setakat ini namun kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan wabak itu daripada menular.

Ketika ditemui Bernama, beliau berkata wabak itu masih lagi merupakan kes terpencil dan sehingga kini hanya dilaporkan berlaku di negara China.

Bagaimanapun, beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga kerajaan telah meningkatkan pemantauan dan mendapatkan panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan wabak itu.

“Kita juga telah meningkatkan langkah berjaga-jaga di semua pintu masuk negara bagi memastikan bahawa pemantauan penghidap atau mana-mana wabak penyakit dari luar negara, dapat kita halang dan terjaga dengan rapi,” katanya.

Liow berkata simptom wabak berkenaan hampir sama dengan wabak H1N1 iaitu penghidapnya antara lain akan mengalami sakit perut dan demam panas berpanjangan.

Namun begitu beliau berkata wabak H7N9 adalah lebih berbahaya dan serius kerana risiko kematian adalah 60 peratus lebih tinggi berbanding H1N1 yang hanya 0.4 peratus.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai melakukan saringan di hospital atau klinik jika mempunyai simptom di atas.

Pada Ahad, Bernama melaporkan bahawa China telah mengesahkan terdapat dua kematian serta satu kes akut pertama H7N9 yang dilaporkan berlaku di negara itu.

Laporan itu menyebut bahawa setakat ini masih tiada vaksin bagi mencegah virus H7N9. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.