Bahasa

Tiada masalah jika tidak ada suara Cina dalam kerajaan, kata ahli akademik

May 13, 2013

Pakar akademik percaya bahawa Najib tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat  Cina.Pakar akademik percaya bahawa Najib tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat Cina.KUALA LUMPUR, 13 Mei — Sekiranya berlaku ketiadaan wakil kaum Cina dalam Kabinet maka ia tidak akan menimbulkan masalah besar kepada kerajaan atau masyarakat Cina, kata seorang ahli akademik hari ini.

Dr Ser Wue Hiong, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Bahasa Asing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jika scenario itu berlaku maka sebarang kebimbangan hanya untuk jangka masa pendek dan boleh diatasi.

MCA dan Gerakan mengambil keputusan tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet atas dasar 'menghormati keputusan pengundi' selepas kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mencapai prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Pendirian kedua-dua parti itu telah menimbulkan persoalan daripada semua pihak.

Sebilangan pihak khuatir masyarakat itu akan dipinggirkan sekiranya mereka tidak mempunyai suara dalam Kabinet manakala ramai termasuk Ser mempunyai pandangan sebalik.

Ser memberitahu Bernama bahawa hakikat pengundi Cina menolak calon MCA dan Gerakan membuktikan isu wakil Cina dalam Kabinet juga tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.

Beliau berkata politik dalam era baharu ini perlu juga berpisah daripada tradisi dan lebih penting lagi, ahli politik yang dipilih harus mewakili semua kaum dan bukan bangsa tertentu atau parti politik.

Katanya ahli politik yang hanya memperjuangkan untuk sesuatu kaum sahaja bukan sesuatu yang baik dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya fikir ini adalah realiti di Malaysia hari ini. Kita perlu beralih daripada tradisi,” katanya.

Ser, seorang pakar dalam pengajian kaum Cina di Malaysia, berpendapat sektor yang mungkin mempunyai kesan ialah pendidikan Cina tetapi masalah itu mungkin hanya sementara sahaja.

Beliau yakin Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri untuk semua dan dengan pendekatan 1Malaysia, beliau tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat Cina termasuk pendidikan Cina selepas PRU13.

“Saya percaya beliau akan melakukan perubahan dan melihat pendekatan baharu bagi memenuhi keperluan dan kepentingan pendidikan Cina.

“Salah satu cara yang boleh saya lihat ialah beliau akan melantik seorang pendidik Cina untuk duduk dalam kerajaan bagi menjaga pendidikan Cina,” katanya.

Sebelum ini, seorang timbalan menteri Cina memegang portfolio untuk menjaga pendidikan Cina. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi