Bahasa

Tiada sebab untuk penjawat awam tukar kerajaan, kata presiden CUEPACS

KUALA LUMPUR, 21 Feb ― Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman hari ini dan menambah pertukaran pemerintah belum mampu menjanjikan kemajuan kepada negara.

Dalam majlis bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu kota, Omar (gambar) berkata Putrajaya telah menunaikan hampir kesemua tuntutan mereka membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.

“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.

“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS kerajaan menolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” kata Omar kepada pemberita.

Menurut Omar lagi, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan dipeti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara CUEPACS akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.

“Penjawat awam dan CUEPACS adalah tiang seri (asas kukuh) kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan,” ujar beliau lagi.

Selain itu, Omar juga menegaskan penjawat awam berhak untuk terlibat dalam politik secara langsung tetapi perkara itu mestilah dengan kebenaran oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan tidak melanggari undang-undang yang termaktub bagi penjawat awam.

“Ya, mereka mereka boleh berpolitik tapi mestilah dengan kebenaran oleh JPA.

“Dan penjawat awam yang berpolitik juga mestilah mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan, antaranya tidak boleh berpolitik di dalam pejabat atau semasa waktu bekerja,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan hari ini menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan aktif dan berkesan memandangkan kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.

“Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” tambah beliau.

Penjawat awam merupakan sebahagian daripada 13 juta pengundi berdaftar pada pilihan raya kali ini, serta antara penentu sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya.

PRU ke 13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun dan dianggap paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.