Bahasa

Tidak ada sebab bangkit isu polemik umat islam, kata Abdullah

November 10, 2012

KEPALA BATAS, 10 Nov — Tidak ada sebab bagi rakyat negara ini membangkitkan isu berkaitan polemik umat Islam kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada sesiapa, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata isu itu hanya akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, terutama mereka yang beragama Islam, dan beliau bimbang ia boleh menyebabkan perpecahan.

"Perkara itu tidak pernah dipersoalkan sejak sekian lama, dan masyarakat di negara kita juga selama ini hidup dalam keadaan harmoni. Saya tidak nampak kenapa ia perlu dibangkitkan sekarang.

"Bila kita berada dalam kestabilan, tidak ada pergaduhan, ada pihak sengaja nak timbulkan isu... dalam suasana tenteram seperti sekarang, sepatutnya tidak perlu timbul apa-apa lagi isu yang boleh jejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau mengulas surat seorang individu bukan Islam kepada sebuah portal berita yang mempersoal rasional Melayu dipaksa mengamalkan Islam sebagai agama mereka, dan bukan Islam perlu menukar agama jika ingin berkahwin dengan seorang Islam.

Surat itu berikutan kenyataan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan agama tertentu, dan umat Islam juga perlu diberi hak sama rata untuk bebas beragama.

Kenyataan itu didakwa dikeluarkan ketika beliau menjadi anggota panel forum "Islamic State: Which Version; Who's Responsibility?" anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang minggu lepas.

Bagaimanapun, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), menafikan kenyataan bahawa beliau memberi gambaran cuba menggalakkan murtad di kalangan umat Islam.

Semalam, beliau hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Terdahulu, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 350 penerima di Dewan Harmoni Sekolah Kebangsaan Ahmad Hashim.

Sumbangan berupa makanan dan keperluan harian serta wang tunai itu dihulur bagi meringankan beban masyarakat India kurang berkemampuan yang akan menyambut pesta cahaya Selasa ini. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi