Bahasa

Tidak perlu RCI bagi kewarganegaraan sebelum Merdeka, kata MCA

Namun, presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata meragui Dr Mahathir benar-benar serius semasa membuat cadangan tersebut, memandangkan bekas perdana menteri tersebut cuba menyatakan kerajaan hanya memberi kerakyatan kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut undang-undang.

"Itu yang beliau cuba katakan," kata pemimpin MCA itu (gambar) semasa sidang media disini selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga presiden parti tersebut.

"Saya baca kenyataan Dr M, saya tidak tahu kata-kata beliau itu serius atau sekadar jenaka. Kenapa perlu ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika ia diberikan secara sepakat. Kerajaan memberikan kewarganegaraan kepada mereka yang berhak mendapat mengikut undang-undang."

Beliau berkata semua yang tinggal di Persekutuan Tanah Melayu pada masa sama tidak kira sama ada mereka Bumiputera, Melayu, Cina atau India telah menyumbang secara saksama perjuangan kemerdekaan negara ketika itu.

Dr Chua menamakan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai salah satu contoh individu yang mendapat manfaat daripada pengagihan kewarganegaraan ini.

"Jadi saya rasa, bagi menghormati hal ini, pembangkang juga perlu mengakui bahawa mereka mendapat kewarganegaraan menerusi proses ini juga," kata beliau lagi.

Dr Chua juga menggesa semua parti supaya tidak membuat sebarang kesimpulan daripada RCI Sabah yang sedang berjalan melibatkan isu perundangan negeri, sambil menambah bahawa panel suruhanjaya akan menemuduga seramai 160 orang saksi.

Beliau mengakui terdapat beberapa keterangan yang menggambarkan imej negatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi menyatakan ia hanya seawal sesi perbicaraan sahaja.

"Biar RCI habis tugasnya sebelum melakukan sebarang kesimpulan. RCI tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kita patut ucap tahniah kepada perdana menteri kerana keberaniannya, untuk hadapi masalah ini selepas beberapa tahun. Beliau ambil alih isu ini dan bersetuju untuk selesaikannya... jika terdapat sesuatu tersembunyi, sudah pasti beliau tidak mahu menubuhkan RCI ini. Betul tak?" kata Dr Chua.

Sepanjang lima hari sesi perbicaraan minggu lalu, panel RCI telah mendengar keterangan daripada penjawat awam berjawatan tinggi yang mengatakan pendatang asing telah diberikan dokumen untuk membenarkan mereka mengundi pada pilihan raya Sabah 1994.

Dr Mahathir minggu lalu berkata masih belum menerima sebarang sepina daripada panel RCI, tetapi sedia memberikan keterangan jika diarahkan.

Panel RCI lima orang tersebut dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan akan menyambung siasatan pada 29 Januari ini.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.