Bahasa

Tiga laluan MRT di KL menjelang 2020, kata SPAD

Oleh Lee Wei Lian
August 30, 2012

Syed Hamid berkata kajian ke atas dua laluan tambahan itu dijangka siap awal tahun hadapan.—Gambar failKUALA LUMPUR, 30 Ogos ― Kajian terhadap laluan kedua dan ketiga MRT Lembah Kelang mungkin akan siap pada awal tahun hadapan dengan mensasarkan tahun 2020 untuk siap, kata pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Laluan kedua dan ketiga dijangka mengelilingi tengah bandar raya dan laluan utara ke selatan, dan pembinaannya dijangka akan bersambung dengan laluan pertama iaitu dari Sungai Buloh ke Kajang.

“Kita akan menyiapkan kajian awal tahun hadapan untuk kelulusan kerajaan,” katanya dalam pelancaran Persidangan Rail Asia 2013 di sini.

Syed Hamid menambah kerajaan ingin menyiapkan ketiga-tiga laluan itu menjelang 2020.

Projek MRT ini dikatakan sebagai projek terbesar dan paling mahal di Malaysia dan bakal menjadi tulang belakang pengangkutan awam di bandar raya.

Sehingga hari ini, sebanyak 40 pakej pembinaan bernilai RM16 billion telah dianugerahkan kepada kontraktor, manakala 45 pakej lagi akan diberikan tahun hadapan.

Gabungan MRT, LRT, KTM, dan Transit Segera Bas (BRT) dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengangkutan awam daripada 17 peratus pada masa kini kepada 50 peratus menjelang 2020.

Laluan pertama MRT sepanjang 51 km dari Sungai Buloh ke Kajang mempunyai 31 buah stesen.

Fasa pembinaan antara Sungai Buloh ke Semantan dijangka siap pada 31 Disember 2016 dan selebihnya pada 31 Julai 2017.

Rail Asia 2013 telah dianjurkan oleh Perbadanan Industri Pembinaan dan Pembangunan (CIDB) dan menggambarkan cita-cita Malaysia dalam bidang kereta api, dan ketua eksekutif CIDB Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata ia mampu mengubah Malaysia untuk menjadi hab kepada pakar pembinaan kereta api.

CIDB juga berkata 3,000 delegasi termasuk 300 penentu dasar seluruh rantau dijangka datang ke persidangan dan pameran ini.

Selain dari pembinaan MRT, negara juga sedang merancang untuk mengembangkan laluan LRT, membina trek berkembar dari Padang Besar ke Johor Bahru, dan mengkaji sama ada membina laluan kereta api berkelajuan tinggi dari Singapura, dan perkembangan MRT Singapura ke Johor Bahru.

Lebih banyak projek kereta api bernilai puluhan billion dijangka akan menggalakkan pakar kereta api dan syarikat pembinaan untuk berkembang di Malaysia.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi