Bahasa

Timbalan Ketua Menteri Sabah mahu kontraktor laksana projek ikut prosedur

KOTA KINABALU, 30 Julai — Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin hari ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan hasil kerja  kontraktor dalam melaksanakan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

Sambil meminta para kontraktor memberi komitmen penuh terhadap pelaksanaan projek itu, beliau berkata adalah menjadi kewajipan menyiapkan projek-projek itu mengikut prosedur serta arahan kerja yang ditetapkan sebagaimana amanah yang diberikan kerajaan.

"Saya tidak berpuas hati dengan kedua-dua projek di mana mendapati jalan raya berlubang, air bertakung dan Projek Perumahan Bantuan Rakyat (PBR) juga tidak memuaskan hati kerana pemasangan pintu tidak sempurna dan cermin tingkap tidak dipasang dengan betul.

"Dengan itu, saya meminta kontraktor hendaklah membuatnya dengan sebaik mungkin kerana apa yang kita bantu ini orang-orang yang susah," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek PIA/PIAS dan PBR Fasa 2 di Jalan Kampung Sekambu dan PBR Kampung Sekambu, Putatan di sini, hari ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata kerja-kerja yang tidak sempurna itu akan memberi kesan buruk kepada rakyat untuk menikmati kemudahan infrastruktur terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan menulis surat kepada Pejabat Daerah Putatan supaya menyelaras sesuatu projek dengan baik terutama dalam hal pelantikan kontraktor yang berupaya untuk melaksanakan sesuatu projek.

"Pejabat Daerah seharusnya lebih berhati-hati dalam memilih kontraktor yang layak," katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.