Bahasa

Timbalan Pengerusi SPR akan saman Mat Sabu, ‘Harakah’

Wan Ahmad mahu Mat Sabu berhenti daripada membuat keterangan mengenai isu ini. – Gambar oleh S.M. AminWan Ahmad mahu Mat Sabu berhenti daripada membuat keterangan mengenai isu ini. – Gambar oleh S.M. Amin Harakah

Dalam notis tuntutannya, timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu turut menamakan parti PAS, pencetak dan penerbit Harakah, Angkatan Edaran Enterprise, ketua pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel bertajuk “Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai”, Aziz Muda.

“Saya telah arahkan peguam saya mengeluarkan notis tuntutan kepada lima penama tersebut untuk menarik balik kenyataan berkenaan,” kata Wan Ahmad ketika sidang media di kediamannya di sini.

Tegasnya, kenyataan yang dikeluarkan Mohamad Sabu itu adalah pembohongan dan fitnah besar-besaran yang menjatuhkan kredibiliti dan integritinya selaku pegawai tertinggi dalam SPR.

“Dakwaan dalam akhbar Harakah itu tidak benar ... laporan Harakah menyebut saya pernah bertugas sebagai Pengerusi SPR Sabah pada 1994, sedangkan saya hanya menyertai SPR pada Disember 1998 sebagai setiausaha SPR.

“Sebelum itu, saya berada di luar negara, di Amerika Syarikat dan berkhidmat sebagai menteri penasihat kedutaan Malaysia daripada tahun 1989 hingga 1994,” katanya.

Laporan Harakah dalam akbarnya di muka surat N30 mendesak Wan Ahmad meletak jawatan bagi memulihkan imej dan kredibiliti SPR kerana mendakwa beliau terlibat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam “Projek IC” di Sabah pada 2004.

Akhbar PAS itu memetik kenyataan Mohamad itu turut berkata penglibatan Wan Ahmad dan Dr Mahathir adalah semata-mata untuk memenangkan BN di Sabah dalam pilihan raya.

Jelas Wan Ahmad, Harakah telah tersilap orang dalam laporan mereka, kerana Wan Ahmad yang dimaksudkan dalam laporan akhbar edisi 1 hingga 3 Febuari itu sebenarnya merujuk kepada Allahyarham Datuk Wan Ahmad Wan Yusof, dan bukan dirinya.

“Kenyataan itu juga merujuk kepada saya dengan nama penuh ... sedangkan personaliti yang dikatakan Harakah sebenarnya Wan Ahmad Wan Yusof yang telah pun meninggal dunia.

“Beliau telah meninggal dunia, dan pernah berkhidmat di Sabah,” katanya, dan menambah laporan Harakah itu berupa tuduhan yang memberi tafsiran dirinya menjadi dalang sebagai konspirasi jahat untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ketika itu.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya membuat tuntutan agar Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, untuk berhenti daripada membuat keterangan fitnah terhadapnya; membuat permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis dan menarik balik kenyataan tersebut dengan cara yang ditentukan peguamnya.

Mereka juga perlu menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya; serta membayar gantirugi kos yang teruk akibat penyiaran artikel tersebut.

“Saya beri tempoh tujuh hari bermula 7 Febuari ... kita telah edar kepada semua penama tersebut dan mereka sahkan telah menerima notis tuntutan tersebut.

“Sekiranya masih tiada tindakan, kita akan kemukakan saman kepada mereka,” katanya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.