Bahasa

Shahrizat: Tindakan Kamilia tanding bebas tidak jejas Jentera Wanita Umno

KOTA KINABALU, 20 April — Jentera pilihan raya Pergerakan Wanita Umno tidak terjejas dengan tindakan naib ketuanya Datuk Kamilia Ibrahim bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sambil menyatakan kekesalan dan kekecewaan dengan tindakan Kamilia, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata pergerakan itu telah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya termasuk sebarang kemungkinan berlakunya situasi luar biasa. 

“Selama empat tahun, saya telah menentukan dan mengemaskinikan jentera wanita ‘Jentera Jalinan Rakyat’ (JJR) untuk bertugas dengan baik, penuh komitmen dan kesetiaan kepada perjuangan parti walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk tidak mendapat peluang menjadi calon.

“Ini kerana perjuangan mereka ikhlas, tidak pentingkan diri dan sabar dalam perjuangan dan JJR akan berjalan dengan penuh disiplin tidak kira siapa yang membelot atau mengkhianat parti untuk kepentingan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat berkata buat masa ini, JJR Kuala Kangsar akan dipimpin oleh Naib Ketua Wanita Umno Bahagian, Nor Rizan Subehi yang akan memangku jawatan Kamilia selaku Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Beliau menambah tindakan Kamilia itu jelas telah melanggar peraturan disiplin UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan bakal menghadapi tindakan tegas yang akan diumumkan Presiden dan Timbalan Presiden parti pada Isnin ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada wanita UMNO Kuala Kangsar kerana menunjukkan semangat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti semasa mereka diduga dengan tindakan mengejutkan itu.

Hari ini, Kamilia membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon bebas di kawasan Parlimen Kuala Kangsar dengan menggunakan lambang buku dan akan berdepan dengan calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada PAS.

Sebelum ini, Kamilia pernah menyuarakan kekecewaannya kerana BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata Kamilia telah menolak tawaran bertanding bagi kerusi DUN Bukit Chandan kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.