Bahasa

Tindakan Khaled sekat PTPTN Unisel bukti Umno tak pentingkan Melayu

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 07, 2012

SHAH ALAM, 7 Jun – Tindakan menteri pengajian tinggi menyekat pemberian bantuan pinjaman kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) adalah bukti kerajaan Umno tidak mengutamakan kepentingan masyarakat Melayu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan, tindakan itu juga membuktikan Umno juga hanya memberikan keutamaan kepada parti semata-mata.

“Ini tindakan bukti Umno bukan perjuangkan Melayu. Tapi perjuangkan kepentingan Umno,” tegas Khalid.

Semalam, Datuk Seri Khalid Nordin mengesahkan kementerian telah membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar tahun pertama di Unisel bagi melihat sama ada institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu mampu untuk melaksanakan cadangan mereka menuntut pendidikan percuma.

Pemimpin PAS ini turut menegaskan, tindakan itu juga jelas membuktikan orang Melayu bukan di negeri BN akan dianiya dan dizalimi kerana tidak menyokong mereka.

“Ini adalah matlamat politik kepada Umno.”

“BN kata mereka buat semua ini supaya Selangor buat apa yang dikatakan, beri pendidikan percuma.

“Pelajar Unisel itu lebih 90 peratus Melayu, apabila pinjaman tidak diluluskan, ia sedang mengkhianati dan menganiaya orang Melayu,” tegasnya.

Malah, Khalid juga mendesak kerajaan Persekutuan memberikan royalti minyak kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bagi membolehkan mereka memberikan pendidikan percuma kepada rakyat di negeri-negeri di bawah mereka.

“Kita boleh buat jika bahagian Selangor dalam royalti minyak diserahkan kepada Selangor,” tegasnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, pembekuan tersebut hanya membabitkan permohonan pelajar baru bermula April lalu.

“Bagi pelajar yang sudah menerima PTPTN, pinjaman mereka akan diteruskan seperti biasa. Pembekuan ini hanya melibatkan permohonan baru,” katanya lagi.

Jelas Khaled, PTPTN turut membuat keputusan ini awal bulan lalu kerana mereka juga menerima tekanan politik daripada pihak pembangkang yang mahukan pelajar-pelajar pengajian tinggi diberi pendidikan percuma di negara ini.

Tambahnya, keputusan itu dibuat sejurus sebelum pengambilan pelajar bagi sesi baru bermula dan ia telah dimaklumkan kepada pihak kementerian.

Pembekuan berkenaan mula disedari melalui semakan di ruangan forum laman web rasmi PTPTN apabila pengendali ruangan itu memberitahu permohonan daripada pelajar Unisel ditangguhkan buat sementara waktu.

Malah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi twitternya turut melahirkan kekesalan terhadap pembekuan tersebut kerana menyifatkan langkah berkenaan seolah-olah mendiskriminasikan pelajar universiti tersebut.

Isu PTPTN mula hangat diperkatakan apabila sekumpulan mahasiswa menyertai demonstrasi membantah PTPTN di Dataran Merdeka April lalu serta janji Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memansuhkan pinjaman pendidikan itu jika parti pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi