Bahasa

Tinjauan: Pakatan Kedah mungkin tumbang dengan kurangnya 6 peratus undi Melayu

Menteri Besar Azizan: Keadaan kesihatan beliau mungkin memberi kesan dalam corak pengundian kaum Cina di Kedah. — Gambar failMenteri Besar Azizan: Keadaan kesihatan beliau mungkin memberi kesan dalam corak pengundian kaum Cina di Kedah. — Gambar failKUALA LUMPUR, 4 April — Pakatan Rakyat (PR) mungkin akan tumbang di Kedah pada Pilihan Raya 2013 dengan kehilangan enam peratus undi Melayu dan perubahan corak pengundian masyarakat Cina, dalam penemuan terbaru tinjauan peribadi yang dijalankan oleh Merdeka Center for Opinion Research.

Seorang pemimpin PAS Kedah memberitahu The Malaysian Insider, di antara sebab perubahan dalam corak pengundian kaum Cina adalah keadaan kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang mana beliau mengatakan memberi persepsi mengenai ketidakstabilan kerajaan negeri.

“Ini kerana pada tahun 2008, lonjakan sokongan daripada pengundi Melayu tidak begitu besar, contohnya kerusi DUN Tanjung Dawai, kita menang tak sampai seratus undi,” kata seorang pemimpin PAS Kedah kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan.

Menurut beliau lagi, keputusan masyarakat Cina untuk memberikan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada BN dan parlimen kepada PR membuktikan terdapat masalah serius dengan kepimpinan kerajaan negeri Kedah.

Menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian, terdapat tiga faktor menyebabkan kerajaan PR Kedah hilang sokongan masyarakat Melayu negeri tersebut pertama adalah pemberian RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 oleh Barisan Nasional (BN).

“Kedua masalah dalaman kerajaan seperti penyampaian perkhidmatan oleh kerajaan negeri dan ketiga, calon serta muka baru diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak sudah mula menarik kembali pengundi kepada BN,” katanya apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Perdana menteri telah membubarkan parlimen semalam dan beberapa negeri ikut membubarkan DUN manakala menteri besar Kedah akan bertemu dengan pemimpin negeri hari ini untuk mendapatkan persetujuan. Pilihan raya umum (PRU) dijangka akan diadakan pada penghujung bulan April.

Akan tetapi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak menganggap penemuan badan tinjauan bebas itu sebagai satu sebab untuk melemahkan partinya untuk terus berjuang bagi mengekalkan PR di Kedah dalam Pilihan Raya 2013.

“Saya akan all out membantu PAS dan Pakatan untuk mengekalkan Kedah. Ya, saya tahu tentang pembentangan Merdeka Center itu,” kata Mohamad apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

“Kami berjanji untuk perbaiki kelemahan dahulu demi untuk memastikan dapat memerintah bagi penggal kedua,” tambah beliau yang dijangka akan bertanding di kerusi parlimen Pendang, Kedah.

Dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Azizan mengatakan terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan pentadbirannya yang beliau dirasakan akan menjadi sebab rakyat akan terus menyokong PR bagi mentadbir negeri tersebut.

“Bersih rasuah. Rasuah tak ada di Kedah, kalau ada tangkaplah,” kata Azizan.

“Saya bagi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum, saya menggunakan sistem “Kifaalah” ... semua orang mati, Melayu, Cina, India semua dapat,” kata beliau yang juga merupakan ADUN Sungai Limau itu.

Sistem Kifaalah merupakan skim insuran warga emas diperkenalkan untuk memberi perlindungan insuran kepada seluruh warga emas di negeri Kedah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sistem ini dimulakan oleh kerajaan negeri PAS di Kelantan.

“Saya bagi pendidikan, bantuan pendidikan … kemudiaan saya perkenalkan agenda pertanian Kedah.”

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi pendiriannya baru-baru ini Azizan akan terus memimpin PAS Kedah sebagai Pesuruhjaya dan tidak ada sebarang pertukaran untuk menghadapi Pilihan Raya 2013.

“Semua pimpinan PAS negeri termasuk dewan diminta menumpukan kerja dalam menghadapi PRU13 yang bakal dihadapi dalam waktu terdekat ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Politiknya pada 24 Mac lepas.

Dalam Pilihan Raya 2008, gabungan longgar PAS, PKR dan DAP menang mengejut di Kedah, mengecewakan BN apabila memenangi 22 dari 36 kerusi DUN di Kedah.

Akan tetapi dua ADUN PKR Tan Wei Shu dari Bakar Arang dan Mohd Radzi Salleh dari Lunas keluar parti dan menjadi ADUN bebas mesra BN oleh kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Pembelotan tersebut menyebabkan beza kerusi diantara PR dan BN turun ke hanya emat kerusi DUN.

Pada Mei 2010, khabar angin tersebar kerajaan negeri PR mungkin akan tumbang kembali kepada BN disebabkan akan berlakunya lebih banyak pembelotan dari ADUN PKR.

Akan tetapi dalam satu ceramah pada 22 Mei, kesemua 20 ADUN PR muncul untuk menafikan khabar angin, menyatakan kesetiaan mereka terhadap kepimpinan Azizan.

Kepimpinan PAS masih belum menyatakan secara rasmi siapa yang bakal mengetuai kempen parti di Kedah untuk Pilihan Raya 2013.

Ahli politik daripada parti pemerintah BN dan pembangkang PR akan bertarung untuk merebut 222 kerusi  parlimen dan 505 kerusi DUN pada Pilihan Raya 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.