Bahasa

Tokoh kemerdekaan pasti pasti bangga dengan kejayaan Malaysia

September 16, 2010

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Sekiranya tokoh-tokoh kemerdekaan negara masih hidup sehingga hari ini, mereka pasti tidak akan kecewa melihat kamakmuran dan kejayaan yang dicapai Malaysia hari ini, kata seorang waris kepada tokoh kemerdekaan negara.

Anak mantan Timbalan Perdana Menteri kedua, Tarmizi Tun Dr Ismail berkata Malaysia yang dibina menerusi perjuangan tokoh-tokoh berlainan bangsa dan agama berjaya melahirkan generasi pewaris yang berdaya saing dalam meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

“Jika tokoh-tokoh pengasas Malaysia masih hidup lagi ketika ini, saya percaya mereka akan terkejut dengan apa yang berlaku kepada negara ini, betapa bertuah rakyatnya berbanding negara yang lain,” katanya semasa sesi temu bual bersama keluarga bapa-bapa pengasas Malaysia di sini, hari ini.

Sesi temu bual anjuran Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dengan kerjasama Bernama TV sebagai media rasmi itu berlangsung selama kira-kira dua jam, dengan antara yang hadir terdiri daripada anak, cucu dan cicit Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Fuad Stephens, Tun Temenggong Jugah, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan.

Tarmizi yang merupakan anak keempat Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata meskipun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun mereka bercakap dan bercerita mengenai perkara yang sama, mengenai usaha untuk kekalkan perpaduan dan kemakmuran sepanjang masa.

Sementara itu cucu kepada Bapa Kemerdekaan Negara Tuanku Abdul Rahman, Datin Sharifah Manjalara Husin berkata sejarah negara bakal luput ditelan zaman jika generasi baru alpa dengan kemajuan dan kesenangan hidup hingga mereka mengambil mudah nilai perpaduan dan semangat cintakan negara.

Sementara itu anak kepada bekas presiden MIC, Kunjari Sambanthan mencadangkan sesi dialog bersama tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang perlu diadakan bagi berkongsi idea dan pengalaman     mengenai sejarah dan perpaduan negara.

Majlis itu dirasmikan oleh Presiden IDEAS Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini.

IDEAS ialah sebuah badan pemikir bebas rentas parti yang berinspirasikan visi Bapa Kemerdekaan Malaysia serta bergerak berdasarkan prinsip kerajaan terhad, kedaulatan undang-undang, individu merdeka dan pasaran bebas. – Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi