Bahasa

Tol di terowong bawah laut Pulau Pinang untuk elak sabotaj, kata Guan Eng

Oleh Md Farhan Darwis
March 26, 2013

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Barisan Nasional (BN) takut dengan projek terowong bawah laut yang dirancang kerajaan Pulau Pinang kerana kejayaan itu akan menampilkan kemampuan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Lim (gambar) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga menyedari akan wujud unsur sabotaj dari kerajaan Pusat seperti mana tindakan mereka menggagalkan usaha menambah bhaik pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Kerajaan pusat jelas gentar dengan projek ini sehingga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menentang projek infrastuktur ini berhabis-habisan kerana takut ia akan menampilkan kemampuan kerajaan negeri PR.

“Demi mengelakkan kerajaan pusat menghalang projek terowong bawah dasar laut ... kerajaan negeri bersetuju tol dikenakan dengan kadar yang sama dengan Jambatan Kedua ... sekiranya tidak ada tol di terowong, kerajaan pusat boleh menyaman kerajaan negeri berniat jahat menggagalkan kutipan tol Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang akan siap pada bulan September ini, kerana pengguna kenderaan tentu akan memilih terowong,” kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Kerajaan negeri juga jelasnya telah mencipta sejarah dengan memberikan konsesi tol yang tidak ada jaminan jumlah kenderaan yang melalui terowong berkenaan dan tempoh konsesi hanya untuk tempoh masa 30 tahun.

“Ini berbeza dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang diberikan untuk tempoh masa 45 tahun dan ada jaminan jumlah kenderaan, yang bermakna kerajaan pusat akan berikan pampasan ganti rugi sekiranya bilangan kereta yang gunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak mencukupi,” katanya.

Terowong itu termasuk dalam empat projek mega kerajaan Pakatan Rakyat (PR) itu di Pulau PInang, termasuk tiga projek lain yang keseluruhannya menelan belanja RM6.3 bilion iaitu Terowong bawah tanah Butterworth-Georgetown, sepanjang 6.5 kilometer, Jalanraya Gurney Drive-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, sepanjang 4.2 kilometer, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Bandar Baru Air Itam, sepanjang 4.6 kilometer, dan Jalan Berkembar Jalan Tanjung Bungah-Teluk Bahang sepanjang 12 kilometer.

Berdasarkan sesi dialog yang dianjurkan sebelum ini, Lim turut berkata rakyat Pulau Pinang menyambut baik projek itu malah turut menunjukkan sokongan kuat kepada projek tersebut.

“Reaksi mereka, khususnya anak muda, yang menghadiri pelbagai dialog dan mesyuarat jelas menunjukkan sokongan kuat kepada inisiatif kerajaan negeri PR.”

Pihaknya juga turut berkata, dalam proses tender untuk projek itu turut melibatkan syarikat Melayu Bumiputera yang berjaya membida projek berkenaan pada nilai terendah.

“Sebuah syarikat Melayu Bumiputera telahpun memenangi tender terbesar dalam sejarah Pulau Pinang ini dengan harga terendah RM6.3 bilion. 

“Sekaligus ini membuktikan amalan sistem tender terbuka oleh kerajaan negeri PR dapat memilih dan martabatkan kontraktor Melayu yang pandai buat kerja bukan sekadar pandai berpolitik,” kata Lim.

Beliau sebelum ini berkata matlamat utama projek itu ialah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas memandangkan Pulau Pinang merupakan negeri yang pesat membangun dengan kedatangan pelancong yang meningkat setiap hari.

Cadangan projek berkenaan sebelum ni menimbulkan bantahan daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kerana ianya tidak selamat dan berkemungkinan akan “menyebabkan kemalangan.”

Lim Eng bagaimanapun membidas CAP sebagai “tidak logik”, sebaliknya menggesa presidennya S.M. Mohamed Idris tidak membuat kenyataan yang subjektif dan mengikut sentimen, sedangkan beliau tidak pernah menghadiri dialog tersebut.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi