Tony Pua cabar Chua Tee Yong siasat skandal NFCorp
KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua hari ini mencabar Timbalan Menteri Pertanian Datuk Seri Chua Tee Yong untuk menyiasat kes National Feedlot Corporation (NFCorp) secara teliti seperti beliau lakukan dengan Talam Corporation.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU) itu, Chua seharusnya meneliti kes NFCorp yang melibatkan kementeriannya.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua hari ini mencabar Timbalan Menteri Pertanian Datuk Seri Chua Tee Yong untuk menyiasat kes National Feedlot Corporation (NFCorp) secara teliti seperti beliau lakukan dengan Talam Corporation. — Gambar fail“Saya ingin bertanya kepada Chua, berapa kali beliau melawat ladang lembu NFCorp berbanding melawat kawasan penternakan ikan air tawar di Bestari Jaya?
“Sudahkah Chua menyempurnakan tugasnya dalam menyiasat pinjaman mudah NFCorp milik Shahrizat Jalil bernilai RM250 juta dua tahun sebelum kontrak perjanjian kontrak ditandatangan?
“Jika tidak, eloklah Chua bertanya kepada dirinya sendiri apakah beliau layak menjadi timbalan menteri pertanian atau sekadar menjadi budak suruhan menterinya Datuk Seri Noh Omar,” katanya dalam kenyataan media yang dikirim hari ini.
Chua yang sebelum ini bertungkus lumus membongkar skandal Talam Corporation yang didakwa beliau melibatkan wang rakyat bernilai RM1 billion.
Tetapi Pua menjelaskan bahawa kerajaan negeri Selangor telah memungut hutang dari Talam berjumlah RM392 juta yang diwariskan semenjak pemerintahan BN.
Menurut Pua lagi, hutang ini tidak pernah untuk dipungut secara serius oleh kerajaan terdahulu dan menyebabkan kerugian kepada rakyat.
“Walaupun beliau mengemukakan fakta yang salah dan memalukan namun beliau masih meneruskan isu ini dengan melawat kawasan tersebut,” katanya.





