Tony Pua cadang Ong Kian Ming bertanding PRU 13
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berucap di majlis makan malam 'Solidariti dan Sokongan Untuk Tony Pua melawan Syabas' di Petaling Jaya, 17 Julai 2012. – Foto oleh Amin IskandarPETALING JAYA, 17 Julai — Ahli parlimen Petaling Jaya Utara (PJU), Tony Pua malam ini bertanya kepada hadirin dalam majlis makan malam 'Solidariti dan Sokongan Untuk Tony Pua melawan Syabas' apakah mereka mahukan penganalisis politik terkenal Dr. Ong Kian Ming untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sebelum itu, setiausaha publisiti DAP itu memberitahu hadirin bahawa Ong Kian Ming adalah tulang belakang kepada pendedahan -pendedahan yang beliau lakukan berkenaan dengan skandal kerajaan.
"Dr. Ong Kian Ming adalah orang yang melakukan kajian untuk pendedahan yang saya lakukan.
"Mahukah jika beliau kita jadikan calon dalam PRU 13?," tanya Pua sambil disambut dengan jawapan 'Ya' dan tepukan dari hadirin.
Ong Kian Ming yang kini memimpin Refsa - badan pemikir DAP baru-baru ini menjadi mangsa jenayah.
Baru-baru ini rumah beliau dipecah masuk oleh beberapa orang lelaki sewaktu penganalisis politik itu berada di rumah.
Selepas memberikan amaran keras kepada Ong, penjenayah-penjenayah tersebut meninggalkan rumahnya.
Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP seringkali membariskan calon-calon muda dalam pilihan raya.
Dalam pilihan raya negeri Sarawak lalu, calon-calon muda DAP berjaya memenangi kerusi beberapa kerusi DUN dan parlimen.





