Bahasa

Tukang kebun kesal didakwa warga Myanmar, jadi pengundi hantu

April 07, 2013

ALOR SETAR, 7 April — Seorang tukang kebun kesal dengan kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwanya sebagai warganegara Myanmar yang menerima kad pengenalan Malaysia dan menjadi mengundi hantu pada pilihan raya.

Sehubungan itu, Ramli Ahmad, 48, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada 11.44 malam semalam sejurus mengetahui perkara berkenaan.

"Saya terkejut apabila seorang lelaki Cina datang ke rumah dan menunjukkan sebuah akhbar Cina edisi malam yang memaparkan tentang saya sebagai seorang warganegara Myanmar yang datang ke Malaysia pada tahun 1993.

"Kalau saya warganegara Myanmar, macam mana saya boleh ada surat beranak dan kad pengenalan Malaysia yang jelas menunjukkan bahawa saya lahir di Pengkalan Kundor," katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA di sini hari ini.

Beliau sudah tujuh tahun bertugas di Wisma Darul Aman dan pernah mengundi di Parlimen Kuala Perlis pada 2004 serta Parlimen Alor Setar pada 2008.

Ramli berkata punca pertikaian status kewarganegaraannya mungkin disebabkan beliau memiliki sijil pengesahan perakuan taraf kewarganegaraan yang dikeluarkan pada 22 Dis 1993.

"Saya mendapat sijil itu kerana sijil kelahiran asal telah hilang dalam satu kebakaran," katanya.

Ramli berkata laporan polis dibuat bagi membersihkan nama beliau kerana tuduhan yang dilempar itu bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya dan keluarga malah boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Loh Eng Chong berkata selepas melihat kenyataan akhbar berkaitan perkara berkenaan, beliau terus membuat pemeriksaan sebelum ke rumah Ramli bagi mendapatkan penjelasan.

"Saya ke rumah Ramli untuk memberitahu mengenai perkara ini dengan membawa surat khabar Cina edisi malam yang memaparkan Ramli adalah seorang pendatang asing dari Myanmar.

Ramli berada dalam keadaan terkejut kerana beliau tidak tahu bagaimana butiran peribadinya boleh berada dengan pihak berkenaan," katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi