Bahasa

Tunaikan hak mengundi walau di mana berada — Duta Malaysia ke Thailand

February 22, 2013

BANGKOK, 22 Feb — Rakyat Malaysia yang kini menetap di Thailand dinasihatkan supaya menunaikan hak mereka untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata sebagai rakyat Malaysia yang layak, mengundi merupakan hak mereka walau di mana jua mereka berada.

Beliau yang ditemui pada majlis makan malam Kedutaan Malaysia bersama rakyat Malaysia di Thailand baru-baru ini berkata pihak kedutaan telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan tentang cara menjalankan pengundian untuk PRU-13 akan datang.

Katanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan maklumat mengenai cara pengundian pos bagi rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

“Maklumat serta syarat pengundian secara pos terkini boleh didapati di laman sesawang SPR.

“Pihak kedutaan juga telah memaklumkan kepada rakyat kita di sini (Thailand) agar mematuhi segala syarat,” katanya yang telah dua tahun berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia di negara ‘Gajah Putih’ ini.

Nazirah turut mengatakan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu juga boleh pulang ke tanah air sekiranya perlu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warganegara bertanggungjawab.

Media melaporkan sehingga 18 Feb ini, SPR merekodkan seramai 2,636 rakyat Malaysia yang tinggal di 108 negara di seluruh dunia telah mendaftar untuk mengundi secara pos.

Menyentuh hubungan diplomatik Malaysia dan Thailand, Nazirah berkata hubungan politik, ekonomi dan sosial yang baik serta utuh telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Katanya hubungan erat itu merupakan hasil persefahaman yang terjalin antara pemimpin Malaysia dan Thailand yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra.

“Pelbagai inisiatif diambil kedua-dua pemimpin dalam usaha merapatkan dan memperkukuh kerjasama kerangka hubungan dua hala selain memupuk semangat setiakawan tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Nazirah berkata hubungan baik itu juga membantu kedua-dua negara mengenal pasti peluang kerjasama ekonomi bagi mencapai kejayaan dalam Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang akan ditubuhkan pada akhir 2015.

Katanya AEC 2015 itu dijangka dapat meningkatkan pendapatan per kapita di lima negara Asean iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Singapura.

Menurut beliau, Thailand yang mempunyai kekuatan dalam bidang pertanian itu banyak membantu Malaysia dari segi pembekalan makanan seperti beras ke negara ini bagi menampung permintaan penduduk Malaysia.

“Dalam masa terdekat ini, pihak kedutaan bersama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Thailand bagi membincangkan mengenai hab halal bertujuan membantu lonjakan pergerakan produk halal antara kedua-dua negara,” katanya.

Nazirah yakin sekiranya terjalin kerjasama bagi memperkasa sektor hab halal antara kedua-dua negara, ia akan membantu mengembangkan lagi sector pelancongan dan pendidikan, kerana rakyat Malaysia juga memilih Thailand sebagai lokasi untuk melancong serta melanjutkan pelajaran.

Katanya apabila kerjasama ini terjalin, isu mengenai pembekalan serta penyediaan makanan halal dapat dibincangkan bagi memudahkan rakyatMalaysia untuk mendapatkan bekalan makanan halal apabila datang ke Thailand.

Negara ‘Gajah Putih’ itu pada ketika ini merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam Asean dengan purata pertumbuhan antara 2010 dan 2011 ialah 13 peratus. Kini terdapat kira-kira 400 firma Malaysia melabur di Thailand.

Bagi tahun 2011, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara ialah sebanyak US$22.95 bilion, meningkat sebanyak US$2.45 bilion daripada US$20.5 bilion pada 2010. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi