Bahasa

Turun harga kereta: Proton mampu bersaing, hentikan politik perkauman, kata PKR

Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

August 24, 2012

KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Proton akan tetap mampu berdikari dan bersaing dalam pasaran walaupun harga kereta diturunkan kata PKR sambil meminta agar Umno dan Barisan Nasional (BN) menghentikan permainan politik perkauman dalam isu ini.

Menurut PKR, semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP2012) yang kini sedang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi ruang kepada pengurangan cukai eksais secara berperingkat bagi menurunkan harga kereta.

“Kebelakangan ini, pimpinan Umno-Barisan Nasional sering memainkan sentimen perkauman termasuklah di dalam isu penurunan harga kereta, dengan memberi alasan pengurangan cukai eksais akan memufliskan Proton dan industri automotif tempatan,” kata PKR dalam sebuah kenyataan yang dihantar kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bertujuan menanam perasaan perkauman di kalangan rakyat dengan menuduh cadangan menurunkan harga kereta ini bertujuan untuk membunuh Proton yang mengakibatkan puluhan ribu rakyat (kebanyakannya Melayu-Bumiputra) akan hilang pekerjaan,” kata PKR di kenyataan ditandatagani oleh naib presiden, Nurul Izzah Anwar, pengarah strategik Rafizi Ramli, dan timbalan ketua penerangan, Sim Tze Tzin.

Menurut PKR lagi, Proton sudah tidak mendapat perlindungan rebat cukai eksais bermula tahun 2005 dan hanya mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk geran penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Malah, sebenarnya Umno-Barisan Nasional yang mengambil keputusan menamatkan rebat cukai eksais yang diberikan kepada Proton pada tahun 2005,” kata PKR.

“Sejak dari itu, kereta-kereta keluaran Proton dan perusahaan automotif nasional yang lain terpaksa membayar cukai eksais yang sama seperti juga kereta-kereta berjenama antarabangsa.

“Bantuan kewangan terbesar yang diperolehi oleh Proton kini bukan lagi dalam bentuk perlindungan cukai, tetapi geran R&D untuk membolehkannya menerokai rekaan dan teknologi yang lebih baik.”

Menurut PKR, penyata kewangan Proton bagi tahun 31 Mac 2011 (muka surat 167 dari Laporan Tahun Proton 2011) menunjukkan ia mendapat geran R&D berjumlah RM175 juta.

“Jumlah ini adalah jauh lebih rendah dari rebat cukai eksais bernilai berbilion ringgit yang diberikan setiap tahun kepada Proton sehingga tahun 2005,” kata PKR.

“Keupayaan Proton terus bersaing dan memperkenalkan beberapa model baru selepas tahun 2005 membuktikan bahawa Proton boleh terus kekal beroperasi walaupun tanpa dilindungi rebat cukai eksais,” katanya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi