Bahasa

TYT Sarawak: Sambutan Tahun Baru Cina terjemah semangat 1Malaysia

February 10, 2013

KUCHING, 10 Feb – Sambutan Tahun Baru Cina di negara ini unik kerana disambut bersama oleh seluruh rakyat selaras hasrat kerajaan mewujudkan budaya 1Malaysia, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata tradisi mengunjungi rumah terbuka masyarakat Cina oleh rakan-rakan daripada pelbagai kaum lain perlu diteruskan sebagai satu daripada cara mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

“Saya percaya waktu perayaan adalah masa yang paling sesuai untuk kita lebih mengenali serta mendekati antara satu sama lain.

“Memandangkan Sarawak mempunyai masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama,

jaringan kerjasama antara rakyat mesti terus diperkukuhkan dengan semangat saling menghormati, kasih-sayang dan perpaduan yang telah lama diterapkan dalam amalan masyarakat di negara ini,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina 2013 hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berharap golongan belia lebih aktif melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan seperti tarian naga atau tarian singa agar mereka dapat menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial.

Katanya belia yang menyertai aktiviti seni mempertahankan diri, mahupun menjadi sukarelawan berupaya menerapkan nilai-nilai murni seperti disiplin, kemahiran artistik, semangat berpasukan dan bertanggungjawab.

“Perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara untuk lebih maju, kita tidak mahu generasi muda hari ini mengabaikan peranan mereka untuk memupuk perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak.

“Kebelakangan ini banyak diperkatakan isu masalah sosial yang melibatkan belia di Sarawak seperti terlibat dalam jenayah peras ugut, dan gangsterisme, justeru sama-samalah kita sebagai ibu bapa memerhati serta membimbing anak-anak kita agar mereka boleh menjadi aset yang berharga dan berguna khususnya kepada keluarga, negeri dan negara,” katanya.

Salahuddin juga berkata Sarawak harus berbangga dengan kemajuan dicapai seperti pembangunan Koridor Tenaga Diperbarui Sarawak (Score) yang akan mengubah negeri dan menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Golongan belia perlu berusaha lebih gigih untuk menimba pengetahuan khususnya kemahiran teknikal bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi menjayakan program-program kerajaan,” katanya.

Beliau juga berharap Sarawak yang akan menyambut Perayaan Jubli Emas 50 Tahun dalam Malaysia tahun ini, akan terus dilimpahi dengan kedamaian dan kesejahteraan. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi