Bahasa

UIA: Tangguh majlis Saifuddin keputusan kami, bukan arahan KPT

Oleh Mohd Farhan Darwis
November 23, 2011

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menegaskan penangguhan majlis yang sepatutnya dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi malam kelmarin adalah berdasarkan keputusan sebulat suara pengurusan pusat pengajian tinggi itu dan tidak melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, UIA telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan program berkenaan, sebaliknya memutuskan untuk menangguhkan semua program dan majlis yang menyentuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi kenyataan berkaitan undang-undang itu.

The Malaysian Insider difahamkan Najib akan membuat satu pengumuman berkenaan AUKU dalam waktu terdekat.

“Memang kami menangguhkan majlis berkenaan, tapi bukan kami batalkan terus, kami hanya menangguhkan majlis berkaitan AUKU sehingga Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berkaitan akta tersebut.

“Keputusan itu dibuat setelah pihak pentadbiran universiti mengadakan perbincangan dan memutuskan untuk menangguhkan majlis malam tadi (kelmarin) kerana ia menyentuh AUKU,” jelasnya.

Dalam laporannya semalam, The Malaysian Insider menyebut bahawa penganjur program bicara buku yang sepatutnya disempurnakan oleh Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi  mendakwa pihaknya dilayan seolah-olah mengadakan program haram dan difahamkan pembatalan adalah ekoran “arahan” Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.

Majlis itu sepatutnya berlangsung di kampus induk UIA di Gombak akan mengaturkan acara bersembang-sembang antara Saifuddin dan pelajar, sebahagian daripada program Aikol Festival anjuran Persatuan Pelajar Undang-undang UIA.

Mengikut jadual asal beliau sepatutnya berada di kampus berkenaan untuk menghadiri majlis membicarakan e-buku beliau bertajuk “Kalau Saya Mahasiswa” sempena festival tersebut.

Menurut Nik Ahmad Kamal, pihaknya sudah mengetahui berkenaan penganjuran program tersebut sejak dua minggu lagi sewaktu pelajar-pelajar terbabit membuat persiapan ke arah itu.

Namun kata beliau, pihaknya hanya menyedari Saifuddin menjadi jemputan mereka beberapa jam sebelum majlis bermula.

“Pada mulanya kami memberi kebenaran kerana program itu hanya melibatkan fakulti, tapi saya baru sedar beberapa jam sebelumnya mereka ada menjemput timbalan menteri,” katanya.

“Mungkin saya terlepas pandang mereka ada menyatakan Datuk Saifuddin sebagai tetamu jemputan, tapi saya baru sedar tentang perkara itu sedangkan mereka (pelajar) sudah membuat persiapan untuk majlis tersebut . . . saya hanya menjalankan tugas . . . saya faham, tapi saya sendiri tidak mampu untuk berbuat apa-apa, itu keputusan mesyuarat,” katanya lagi.

Namun begitu jelas beliau, penangguhan tersebut hanya bersifat sementara dan selepas Perdana Menteri membuat kenyataan berkenaan AUKU, pihak UIA sendiri akan menganjurkan wacana, seminar dan forum yang menyentuh berkenaan akta itu.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menambah, beliau mendapat maklumat daripada Nik Ahmad Kamal bahawa pembatalan itu adalah atas arahan rektor universiti.

Beliau yang popular dengan pendirian progresif menyentuh transformasi politik, kecewa apabila UIA membatalkan program yang sepatutnya beliau jayakan di kampus induk pusat pengajian tinggi itu.

Saifuddin juga merupakan antara ahli politik yang lantang menyuarakan pendiriannya berkaitan dengan isu UIA menggantung tugas pensyarah Fakulti Undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika beliau disiasat universiti itu bulan lalu.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi