7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

UKM digesa gugur tuduhan 4 pelajar bantu Pakatan

May 18, 2010

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digesa menggugurkan tuduhan ke atas pelajar jurusan sains politiknya yang didakwa terlibat dalam kempen dipercayai membantu Pakatan Rakyat ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi juga diminta mengambil tindakan yang sama agar memastikan tuduhan ke atas pelajar-pelajar berkenaan digugurkan.

Empat pelajar jurusan sains politik diminta menghadiri perbicaraan Mahkamah UKM awal bulan depan.

Mereka terdiri daripada Ismail Aminuddin, Hilman Idham, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai.

“Tuduhan yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar ini sebenarnya tidak logik,” kata Pengerusi Solidariti Mahsiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Shazni Munir berkata, keempat-empat pelajar berkenaan berada di kawasan Hulu Selangor pada 22 April lalu untuk tujuan penyelidikan, bukannya membantu mana-mana parti politik.

“Mereka pergi ke sana untuk menjalankan penyelidikan bagi pensyarah mereka.

“Walaupun perkara ini sudah dijelaskan kepada pengurusan oleh pensyarah mereka, UKM masih mahu mendakwa pelajar-pelajar ini. Kami merasakan tuduhan UKM ini tidak logik,” kata beliau.

Kesemua pelajar berkenaan merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Mahasiswa Sains Politik UKM.

Pilihan raya kecil berlangsung pada 25 April lalu dengan tempoh berkempen bermula 17 April. Ia dimenangi calon Barisan Nasional.

Mereka ditahan masing-masing dua orang di Pekan Rasa dan dua yang lain di kawasan Ampang Pecah antara 12 dan 12.30 tengah hari oleh pihak polis.

Mereka ditahan ketika berada dalam kenderaan aktivis politik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pelajar-pelajar tahun kedua berkenaan menerima surat berkenaan minggu lalu dan minggu ini.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti iaitu “menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia.”

Hilman ditahan bersama Azlin kerana membawa dan memiliki CD, risalah berunsur sokongan atau simpati dengan atau bangkangan terhadap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Ismail dan Woon pula ditahan polis di Ampang Pecah bersama tiga individu dalam sebuah van yang mengandungi risalah berunsur politik.

Hilman dikenakan tuduhan tambahan kerana ingkar arahan Kementerian Pengajian Tinggi bahawa tidak boleh berada di kawasan Hulu Selangor.

Oleh itu dia akan dibicarakan pada 2 Jun manakala rakan-rakannya itu sehari kemudian.

Ismail, Naib Pengerusi kelab itu ketika dihubungi The Malaysian Insider Sabtu lalu berkata, dia menerima surat meminta menghadiri mahkamah Jumaat lalu.

Terdahulu pagi tadi, pemimpin mahasiswa daripada pelbagai persatuan, antara lain SSM, Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia dan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung mengadakan sidang akhbar bagi menyatakan sokongan mereka.