Bahasa

Umat Islam harus menolak ugutan Perkasa bakar Injil, kata Anwar

PETALING JAYA, 23 Jan — Umat Islam harus menolak ugutan Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) untuk membakar kitab Injil, kerana itu perbuatan yang melampau untuk melindungi kalimah Allah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) tegas dalam melindungi kesucian agama Islam, dalam masa sama menolak sikap mempolitikkan agama dan perkauman.

“Kita boleh membantah jika Bible diedarkan kepada umat Islam, kita bersikap tegas dengan mahu mereka dibawa ke mahkamah tetapi perbuatan mengugut membakar Bible adalah melampau,” kata Anwar dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

“Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga akidah kita, dalam masa sama akhlak kita seperti membanteras rasuah dan penipuan.”

Dalam sebuah perhimpunan Perkasa di Pulau Pinang, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyeru umat Islam bersatu dan membakar kitab Injil yang menggunakan nama Allah atau mana-mana perkataan Arab yang dikatakan khas untuk umat Islam.

Isnin lalu, Perkasa menjelaskan kenyataan presidennya Datuk Ibrahim Ali telah disalahtafsir kerana kitab Injil yang dimaksudkan adalah dalam bahasa Melayu.

"Saya mengesahkan Presiden Perkasa ada sebut ayat bakar Bible tetapi beliau tidak bermaksudkan Bible dalam bahasa Inggeris yg sebenar.

"Beliau memaksudkan Bible dlm bahasa Melayu yg menggunakan perkataan Allah dan tulisan jawi," kata setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali.

Ekoran kenyataan Ibrahim yang mahu membakar Bible itu, pemimpin MIC S Vell Paari yang juga anak kepada Datuk Seri S Samy Vellu mendesak kerajaan segera bertindak ke atas Ibrahim jika tidak mahu hilang undi bukan Melayu.

Anwar berkata, isu yang dimainkan oleh Perkasa bertujuan untuk menimbulkan curiga antara agama yang boleh mencetuskan pertelagahan antara kaum.

Ketua umum PKR itu mengkritik Perkasa kerana tidak mengkritik beberapa pemimpin yang didakwa memiliki saham judi di Genting dan syarikat arak San Miguel, tetapi hanya mengkritik pembangkang dan "orang-orang kecil".

"Kita di dalam Pakatan Rakyat sudah meneliti kenyataan Datuk Haji Hadi (Awang) dan kita bersetuju, kalimah Allah tidak boleh dipermainkan bagi tujuan memesongkan akidah," kata Anwar lagi.

Perkasa aktif dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan seringkali mengkritik Pakatan Rakyat (PR) - gabungan PKR, PAS dan DAP yang dikatakan menggugat kepentingan Melayu dan bumiputera sepertimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kehadiran Perkasa tidak disenangi oleh sesetengah pihak terutamanya dari PR yang menggangap pertubuhan tersebut mengamalkan perkauman dan tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.