Bahasa

Umno: BN akan selesai isu peniaga kecil jika menang di Kelantan

June 04, 2012

KOTA BARU, 4 Jun — Masalah yang membelenggu peniaga kecil Kelantan sejak sekian lama akan dapat diselesaikan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Ketua Umno Bahagian Kota Baru Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata ini kerana apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan ketika ini tidak memberi kelebihan kepada peniaga kecil, termasuk dalam soal mendapatkan tempat berniaga.

“Mereka ini berniaga di tepi-tepi jalan, hanya buka gerai. Nak pindah ke tempat lain mereka tidak mampu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mohd Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merujuk kepada situasi peniaga terutama peniaga Melayu di Bazar Tok Guru dan Bazar Tengku Anis yang diberi ruang niaga sempit namun perlu membayar harga tinggi.

Katanya disebabkan itu, terdapat banyak ruang niaga kosong kerana tidak mampu dibeli peniaga kecil.

Selain itu, Mohd Fatmi berkata BN juga akan menyelesaikan masalah rumah mampu milik di negeri ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melawat Kelantan sebelum ini.

Katanya ramai penduduk Kelantan terutama di kawasan bandar tinggal di rumah yang dalam keadaan daif lantaran pemaju lebih gemar membina rumah mewah kerana tanah yang terhad. — Bernama

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi