Bahasa

Umno sudah pulih, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 29 Nov - Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno telah pulih selepas kejutan pilihan raya 2008, dan ia kini cukup bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Beliau berkata kini terdapat perubahan ketara dalam soal kekuatan dan perpaduan dalam parti, ditambah lagi dengan proses tranformasi menguntungkan rakyat yang dilaksana Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini, katanya, dilihat sewaktu tinjauan turun padang yang dilakukan beliau selain perjumpaan dengan kepimpinan parti di peringkat bawah.

"Kita dapat lihat pada peringkat awal pada 2008 selepas kita hadapi pilihan raya sampai terkini 2012, saya lihat ketara bahawa parti kita sudah pulih malah lebih daripada itu menerusi proses transformasi yang dipimpin oleh presiden parti melalui kerajaan yang ada.

"Memang nyata ada perubahan. Cuma kita harap ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan daripada pengundi dalam PRU akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini hari ini.

Menurutnya, kejutan pilihan raya 2008 menjadi satu pengajaran berguna buat mereka.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan apa jua perkara yang diputuskan oleh pemimpin parti perlu diterima dengan sepenuhnya oleh anggota Umno kerana aspek taat setia amat penting dalam menentukan kejayaan sebuah organisasi.

"Komitmen anggota parti mesti ada untuk turun bertarung dengan musuh politik kita dan sekali gus meraih sokongan rakyat untuk memenangi PRU nanti," katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.