Bahasa

Undang-undang ‘fatwa’ Kedah tidak ikut prinsip Islam, kata Mufti Perlis

Azizan berkata fungsi institusi mufti berbeza daripada badan perhakiman. — Gambar failAzizan berkata fungsi institusi mufti berbeza daripada badan perhakiman. — Gambar failKUALA LUMPUR, 19 April — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata enakmen terbaru digubal kerajaan negeri Kedah yang akan menghalang cabaran mahkamah terhadap aspek keagamaan (fatwa) adalah bertentangan dengan prinsip Islam.

Juanda bertanya sama ada pentadbiran negeri pimpinan PAS Kedah mahu menjadi sebuah kerajaan teokrasi atau konsep negara berkebajikan yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat.

“Enakmen fatwa baru menunjukkan mereka sebenarnya menuju ke arah teokrasi dan bertujuan untuk memaksa penerimaan (orang ramai),” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Ini bertentangan dengan Islam,” katanya.

Beliau berkata Islam menerima dan menghormati perbezaan pandangan dari agama-agama lain.

Juanda berkata demikian sebagai respons mengenai Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 yang akan menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10), bagi memperjelas keahlian jawatankuasa fatwa serta menjadikan fatwa diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa sebagai muktamad.

Pindaan itu diluluskan sebulat suara dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah semalam.

Menurut pindaan itu, “Fatwa yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dinafikan atau dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.”

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata mengikut Seksyen 22A yang baru, fatwa tidak boleh dicabar walaupun dengan undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan.

“Fatwa mufti melibatkan ibadah dan hukum syarak, sekiranya berlaku kekeliruan perlu dirujuk kepada jawatankuasa fatwa,” katanya.

Beliau berkata, institusi kehakiman dengan institusi mufti dua perkara yang berbeza kerana mufti lebih kepada jawatankuasa pelaksana, pandangannya diwartakan kecuali hal-hal remeh melibatkan kepentingan awam.

PKR dan DAP masih belum memberikan respons terhadap langkah terbaru PAS yang mengetuai kerajaan negeri Kedah di bawah kesepakatan Pakatan Rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata enakmen itu tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan menentang prinsip asas demokrasi, yang menggariskan pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan badan kehakiman negara.

“Terdapat satu individu yang membuat undang-undang, satu individu lain yang melakukannya, dan satu lagi individu yang melaksanakannya. Sebagai prinsip umum, apa-apa sahaja di bawah bidang kuasa awam dan mahkamah syariah bertentangan dengan enakmen ini serta prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau menambah DUN tidak mempunyai kuasa untuk menggugurkan bidang kuasa mahkamah seperti yang ditekankan di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan mengatakan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan hal-hal seperti yang disediakan undang-undang persekutuan.

“Bermakna, hanya undang-undang persekutuan (dan bukan kerajaan negeri) boleh mengambil alih bidang kuasa mahkamah sivil. Jadi hanya Parlimen boleh melakukannya,” katanya.

Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, serta mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan.

Mahkamah-mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

Artikel itu telah dipinda pada 1988 sewaktu era pemerintaan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dengan meletakkan kuasa Parlimen sebagai penentu kepada kuasa kehakiman negara.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.