Bahasa

Undi calon bukan Islam dari Pakatan, kata PAS Selangor

SHAH ALAM, 8 April — Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman hari ini mengulangi pendirian menggesa rakyat supaya menyokong dan mengundi calon bukan Islam daripada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya 2013 tidak lama lagi.

Abdul Rani menasihati pengundi supaya membuat pilihan bijak terutamanya berhati-hati dalam memilih calon daripada parti yang condong kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti BERJASA dan ISMA.

“Pengundi perlu memilih dan mengundi calon bukan Islam asalkan daripada Pakatan Rakyat.

“Memilih calon Islam yang condong kepada Barisan Nasional ia hanya akan meneruskan kemenangan kepada sebuah parti yang kejam,” kata Abdul Rani.

Beliau juga berkata PAS Selangor telah menghidu strategi yang bakal dilakukan oleh parti yang condong kepada BN untuk menarik sokongan masyarakat Melayu-Islam pada pilihan raya tidak lama lagi.

“Kami jangkakan parti-parti yang condong kepada BN seperti ISMA dan BERJASA ini akan meletak calon ustaz dan berpendidikan agama. Calon-calon ini akan menarik sokongan pengundi Islam dan akan mengurangkan sokongan kepada Pakatan Rakyat,” tambah beliau lagi.

Bagi MP Shah Alam Khalid Samad pula, tindakan memecah undi ini hanya tindakan sia-sia memandangkan ISMA dan

BERJASA tidak akan menang pilihan raya ini tetapi sebaliknya hanya memberi peluang kepada BN menang dan mengekalkan kuasa.

“Calon-calon BERJASA dan ISMA ini tidak akan menang tetapi sebaliknya yang menang adalah BN.

“Tindakan mereka meletak calon adalah sia-sia dan hanya bertujuan untuk memecah undi serta mengelirukan pengundi Islam pada

pilihan raya nanti,” kata Khalid.

Rabu minggu lepas, Dewan Rakyat sah telah dibubarkan, ia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertemu dalam beberapa hari lagi untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dengan notis pembubaran disetiap dewan undangan negeri yang masih belum dibubarkan.

Ahli politik daripada parti pemerintah BN dan pembangkang PR bertarung merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun pada Pilihan Raya 2013, The Malaysian Insider difahamkan ia bakal berlangsung dalam tempoh sebulan ini.

Seramai 13.3 juta pengundi, termasuk 3,000 yang menetap di luar negara telah mendaftarkan diri sebagai pengundi pada pilihan raya kali ini yang dilihat paling sengit dan penting untuk seluruh rakyat Malaysia.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.