Bahasa

Unit rumah berharga RM28,000 ditawar kepada penyewa di Bandar Tun Razak

January 09, 2013

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Penyewa-penyewa pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Bandar Tun Razak di sini ditawarkan membeli unit rumah berharga RM28,000 apabila kerajaan melaksanakan projek penempatan baharu di tapak berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) Datuk Adnan Md Ikhsan berkata penyewa ditawarkan membeli satu unit kediaman seluas 800 kaki persegi secara tunai atau melalui skim pembiayaan Yayasan Wilayah Persekutuan atau melalui pinjaman dengan mana-mana bank komersial.

“Jika tidak mahu membeli, mereka boleh terus menyewa di unit rumah baru itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Projek pembangunan semula pangsapuri dan rumah kos rendah Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Bandar Tun Razak dijangka bermula April ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Adnan berkata projek itu turut melibatkan pembangunan keseluruhan kawasan persekitaran secara lebih kondusif dan berdaya maju dengan penyediaan ruang niaga serta kemudahan rekreasi yang menarik.

Projek pembangunan semula itu juga memberi manfaat dalam aspek sosial, ekonomi dan kehidupan penduduk di rumah yang lebih selesa untuk didiami berbanding kediaman sedia ada, katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah mengadakan perjumpaan dengan para penduduk bagi menjelaskan cadangan pembangunan semula di tapak berkenaan pada Ahad lepas.

Akhbar melaporkan sebanyak 464 pembeli dan 4,181 penyewa telah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi