Bahasa

Universiti Malaya nafi spekulasi penggabungan fakulti

July 02, 2013

Pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) hari ini meminta pelajar, ibu bapa dan warga kerjanya supaya tidak mempercayai sebarang spekulasi dan khabar angin berhubung penggabungan fakulti di universiti itu.

Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Korporat UM Zarina Zainol Abidin berkata sejak perbincangan tentang penggabungan itu pada Mei lepas, ramai pihak telah membuat spekulasi yang mencetuskan khabar angin yang mengelirukan, polemik serta ketidak-tentuan.

"Isu penstrukturan semula ini masih di peringkat awal, dan pengurusan universiti pasti akan memaklumkan secara rasmi jika sebarang keputusan dibuat berhubung dasar dan struktur universiti," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menegaskan idea penggabungan itu masih di peringkat perbincangan dan penelitian yang mendalam oleh pihak pengurusan UM.

"Apa yang pasti, idea ini tidak membelakangkan warga UM di mana perbincangan di peringkat dekan dan pengurusan fakulti telah dan sedang diperincikan bagi mencari mekanisme terbaik demi kepentingan semua pihak di UM," katanya. Zarina juga berkata tiada tarikh khusus yang ditetapkan untuk penggabungan itu.

"Pihak universiti harap pelajar, ibu bapa dan kakitangan UM akan menunggu kenyataan rasmi berhubung status penstrukturan baharu itu yang dilihat sebagai mengukuhkan lagi UM sebagai universiti terulung di negara ini," katanya. - Bernama, 2 Julai, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi