UPSI anugerahkan ijazah kehormat doktor pendidikan awal kanak-kanak kepada Rosmah
TANJUNG MALIM, 7 Mei — Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Awal Kanak-kanak oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
Ijazah berkenaan dianugerahkan kepada Rosmah yang juga Presiden Permata Negara sebagai pengiktirafan atas sumbangannya yang banyak dalam usaha pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di samping memperkasakan golongan wanita.
Canselor UPSI Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara berkenan enganugerahkan Ijazah Kehormat itu kepada Rosmah pada sesi khas Istiadat Konvokesyen ke-14 universiti berkenaan di sini.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam ucapan penerimaannya, Rosmah mendedikasikan penghormatan Ijazah Kehormat itu kepada semua yang terlibat dalam penggubalan dan pelaksanaan program Permata, tenaga pendidik dan seluruh anak Permata.
“Penghormatan ini turut didedikasikan kepada suami, anak-anak tercinta, anggota keluarga serta rakan seperjuangan atas sokongan dan dorongan yang tidak kunjung padam,” katanya.
Beliau berkata Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak atau ECEC semakin diiktiraf sebagai satu komponen yang penting dalam sistem pendidikan seluruh dunia.
Malah katanya Kerangka Tindakan Dakar tentang Pendidikan Untuk Semua pada April 2000 menggariskan “Memperluaskan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak” terutama bagi golongan kurang bernasib baik sebagai matlamat utama.
Beliau berkata ECEC yang berkualiti adalah pengasas proses pembelajaran berterusan yang sangat penting dibudayakan dalam ekonomi berteraskan ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi.
Rosmah berkata tanpa ragu, pelaburan dalam program ECEC bukan sahaja bijak daripada segi perkembangan kanak-kanak sebagai individu yang produktif, tetapi juga bijak daripada pulangan yang amat besar kepada negara.
“Banyak kajian menunjukkan ECEC yang berkualiti telah mengurangkan kadar keciciran sekolah serta kadar jenayah di kalangan remaja. Negara mendapat manfaat penjimatan kerana tidak perlu mengadakan kelas remedial atau tambahan,”katanya.
Selain itu kebolehpasaran dalam jangka masa panjang juga meningkat dan yang lebih penting kebarangkalian untuk kanak-kanak itu berjaya secara holistik dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan masa depan negara lebih tinggi, katanya.




