Bahasa

Ustaz Azhar Idrus pertahankan Nik Aziz dalam isu BR1M

SHAH ALAM, 23 Feb — Pendakwah Islam terkenal Azhar Idrus mempertahankan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam serangan terbaru pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terhadap menteri besar Kelantan itu dalam isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyelar Nik Abdul Aziz yang dikatakan menyamakan penerima BR1M dengan haiwan, sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata,
”Orang yang menawarkan (wang) kepada orang, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami.

“Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu, mana datang.

“Jadi kalau kita beri barang kepada orang, beri RM10, RM50 (orang akan datang ambil). Ini bukan cara Islam, (cara) Islam ialah beri ilmu kepada manusia,” kata Mursyidul Am PAS (gambar) itu menyebabkan beliau diserang hebat oleh pemimpin Umno dan BN di media arus perdana.

Menurut Azhar yang mempunyai program televisyen di saluran Astro Oasis bertajuk “Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus” itu, Nik Abdul Aziz bukan mengatakan penerima BR1M itu seperti haiwan tetapi mengatakan pemberi BR1M menjadikan penerimanya seperti haiwan.

“Sebenarnya apa yang kita dengar dalam video klip bukan Tok Guru kata penerima BR1M seperti haiwan, cuma Tok Guru kata orang yang memberikan BR1M itulah cuba menjadikan orang yang menerima seperti haiwan,” kata Azhar merujuk kepada Nik Abdul Aziz.

“Umpama bagi makan, lepas tu sembelih.

“Maknanya jahatnya orang nak bagi bantuan bila perlu sahaja, bila jauh dengan pilihanraya tak hulur pun bantuan,” katanya dalam satu kuliah dipetik dari Harakahdaily.

Beliau ditanya soalan oleh salah seorang yang hadir dalam kuliahnya, “apa komen ustaz mengenai Tuan Guru Nik Aziz kata orang yang ambil BR1M ni seperti haiwan?”

Azhar menjawab ini semua punca mencari perbalahan, “Ni buah cari baloh (Ini untuk cari perbalahan),” kata beliau dengan menggunakan loghat Terengganu.

Beliau meminta semua pihak berhati-hati dengan sebarang laporan media.

“Jadi lening (sekarang ini) kene hati-hati lah banyak putar belit dan spin berita nak nak musim mengundi ni.

“Yang  tak pernah nampak muka pun dan kerap masuk kampung dah. Tujuan ape? Nak tolong ke untuk kepentingan tertentu?

“Jadi kene bijoklah, jangan percaya tanpa selidik,” tegas penceramah bebas dari Terengganu yang sangat terkenal itu.

Najib mempersoalkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang tidak konsisten memandangkan pakatan pembangkang terutamanya di Selangor turut menjanjikan beberapa perkara yang bersifat kewangan.

“Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?

“Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji...janji itu pula tidak ditunaikan,”  katanya dipetik dari agensi berita Bernama.

Azhar berpengaruh besar terutamanya dikalangan masyarakat Melayu — Islam dimana kuliah-kuliah agamanya di seluruh negara menyaksikan kehadiran besar daripada orang ramai tidak kira fahaman politik mereka.

Beliau juga diterima oleh anak-anak muda berikutan dengan keterbukaannya dengan minat anak-anak muda seperti turut bermain alat muzik seperti gitar.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.