Bahasa

Usul murid bawa telefon bimbit ke sekolah masih dibincang — Wee Ka Siong

August 07, 2012

SEREMBAN, 7 Ogos — Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar).

Katanya, banyak perkara harus diteliti sebelum Kementerian Pendidikan dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak.

“Setakat ini pelbagai pandangan telah diterima termasuk daripada pelajar. Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan. Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini.

Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi