Bahasa

Valentine: Nazri Aziz perlekeh kesucian agama Islam, kata Nasrudin

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan menyifatkan Datuk Seri Nazri Aziz memperlekehkan kesucian agama Islam kerana mempersoalkan pengharaman sambutan Hari Kekasih di kalangan penganut agama itu.

“Itu menunjukkan betapa dangkalnya beliau (Nazri), beliau juga telah memperlekehkan kesucian agama Islam kerana mendorong umat Islam melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Nasrudin (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Tegas beliau, Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, perlu menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf kepada umat Islam di negara ini.

“Kalau beliau seorang yang bertanggungjawab saya nasihatkan beliau agar tidak membuka ruang untuk umat Islam melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dan rujuk perkara ini kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya minta beliau tarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam,” katanya.

Semalam Nazri berkata, orang Islam seharusnya dibenarkan untuk menyambut Hari Kekasih.

“Kenapa tidak boleh disambut? Saya tidak bersetuju ... ia bukannya satu bentuk sembahyang,” katanya.

Menteri berkaitan undang-undang ini turut mengulas kenyataan menteri berkaitan Islam Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata pihak berkuasa agama Islam akan melancarkan kempen besar-besaran seluruh negara bagi mencegah umat Islam menyambut Hari Kekasih semalam.

Beliau turut mengkritik PAS kerana melaksanakan kempen menetang Hari Kekasih, dan menambah usaha seperti itu adalah “mengarut”.

Pada Jumaat lalu, Khutbah Jumaat turut melarang umat Islam meyambut sambutan Hari Kekasih kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyatakannya bertentangan dengan ajaran Islam.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.