Bahasa

Wan Ahmad: SPR tentukan bila pilihan raya DUN Selangor

Wan Ahmad berkata kerajaan negeri masih perlu mendapat perkenan sultan untuk membubarkan DUN Selangor. – Gambar failWan Ahmad berkata kerajaan negeri masih perlu mendapat perkenan sultan untuk membubarkan DUN Selangor. – Gambar fail

SHAH ALAM, 14 Feb—Cadangan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal tidak semestinya akan berlaku pilihan raya umum secara berasingan, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad menegaskan SPR tetap mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan untuk menentukan tarikh pilihan raya, termasuk mengadakan pilihan raya serentak di seluruh negara.

“Membubarkan DUN awal memang kuasa kerajaan negeri, tetapi menetapkan tarikh pilihan raya adalah kuasa SPR,” tegasnya kepada pemberita selepas sidang media di kediamannya di sini.

“SPR ada kuasa untuk memilih tarikh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN ... jika SPR mahu melaksanakan PRU serentak, kami boleh memilih mana-mana tarikh dalam 60 hari tersebut,” tambahnya.

Beliau turut menambah, walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa membubarkan DUN, mereka masih lagi perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, kerana baginda akan menandatangani watikah pembubaran tersebut.

“Memang kita mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan, kita perlu hormati Sultan dan mendapat perkenan baginda untuk membubarkan DUN,” katanya lagi.

Berikutan dengan laporan media pada Isnin lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan akan membubarkan DUN selepas perayaan Chap Goh Meh.

“Kami baru balik kerja (selepas Tahun Baru Cina) ... Kami akan umumkan selepas perjumpaan kami,” kata Menteri Besar Selangor kepada pemberita semalam.

Abdul Khalid pada 30 Januari lalu berkata kerajaan negeri akan membubarkan DUN di Selangor selepas Chap Goh Meh, jika Putrajaya masih enggan memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen.

Beliau bagaimanapun sehari selepas itu menjelaskan pengumuman itu dibuat pihaknya bagi mendesak perdana menteri agar segera mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Abdul Khalid menjelaskan, beliau enggan membubarkan DUN serentak dengan Putrajaya jika pembubaran berlangsung pada Jun tahun lalu, kerana mahu menguruskan bajet tahunan kerajaan negeri yang masih belum selesai.
Parlimen akan dibubarkan secara automatik pada 28 April dan pilihan raya mesti diadakan 60 hari dari tarikh tersebut.

Pemerhati menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pilihan raya pada penghujung Mac selepas memberi kesemua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), program pemimpin Barisan Nasional percaya akan meningkatkan peluang dalam pilihan raya akan datang.

Abdul Khalid turut berkata pembubaran tersebut bergantung kepada Najib mengadakan pilihan raya, sama ada secara berasingan atau serentak dengan parlimen.

Beliau menerangkan keputusan tersebut dibuat kerana keengganan SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.