Bahasa

Wan Azizah persoal peruntukan GTP

TERKINI @ 06:50:56 PM 10-07-2012

Oleh Amin Iskandar
July 10, 2012

Dr Wan Azizah pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR. — Foto oleh Amin IskandarPETALING JAYA, 10 Julai — Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini mempersoalkan mengapa 71 peratus daripada peruntukan program Transformasi Kerajaan (GTP) dibelanjakan untuk aktiviti perhubungan awam pada tahun 2012.

“Program transformasi kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berlandaskan kepada belanjawan 2012 telah menunjukkan tumpuan yang berlebihan kepada bagaimana menguruskan persepsi awam daripada menangani permasalahan jenayah,” kata beliau dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan 71 peratus daripada jumlah wang untuk menguruskan persepsi rakyat terhadap polis berbanding memerangi jenayah itu sendiri.

Belanjawan 2012 memperuntukkan sebanyak RM 240 juta untuk pengurusan NKRA yang merangkumi 5 aktiviti dasar.

“Kerajaan tidak ikhlas apabila hanya memberikan penumpuan yang lebih terhadap persepsi orang awam kepada polis dan bukannya memerangi jenayah itu sendiri.

“Penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan jenayah hanya boleh diperolehi daripada tatakelola dan pengurusan ekonomi yang kukuh bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat,” kata beliau lagi.

Dr Wan Azizah turut mempersoalkan tentang mengapa masih belum ada maklumbalas dari menteri dalam negeri tentang persoalan yang beliau bangkitkan minggu lepas. “Mengapakah pihak unit khas (SB) PDRM melebihkan aktiviti mengintai rakyat sendiri daripada mencegah aktiviti jenayah?

“Rakyat dan PKR akan terus menanti jawapan daripada pihak yang bertanggungjawab,” kata Dr Wan Azizah lagi.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi