Bahasa

Wan Azizah: PKR tubuh pasukan khas kaji isu orang Melayu

Oleh G. Manimaran
May 29, 2010
Latest Update: May 29, 2010 09:28 pm

KOTA BARU, 29 Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji isu-isu yang “dekat dengan orang Melayu”, yang dilihat sebagai antara langkah susulan parti itu bagi meningkatkan sokongan pengundi Melayu.

Antara isu-isu yang disenaraikan pucuk kepimpinan parti itu hari ini ialah yang berkaitan dengan Felda, menaik taraf kemahiran kakitangan awam, pengurusan harta Islam dan lain-lain.

Perkara itu diumumkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional Keenam PKR di sini hari ini.

Sebelum ini PKR mendakwa Umno-BN melabelkan ia sebagai parti tidak pro-Melayu sehingga gagal untuk menembusi sokongan besar berbanding kaum Cina dan India.

Kongres dua hari itu bertemakan “Harapan Baru Selamatkan Malaysia”.

“Jaminan saya, parti kita akan memastikan pasukan-pasukan ini terdiri dari pelbagai kaum kerana isu-isu Melayu bukanlah isu eksklusif kepada orang Melayu sahaja; tetapi tanggungjawab itu akan dipikul bersama oleh pimpinan pelbagai kaum kita seperti mana isu yang rapat dengan kaum-kaum lain turut sama diperjuangkan oleh pimpinan Melayu.

“Kita yakin, dengan pendekatan ini, rakyat akan sedar bahawa inilah pendekatan masa hadapan yang berkesan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan dasar. - Gambar Jack OoiDr Wan Azizah menyampaikan ucapan dasar. - Gambar Jack OoiDr Wan Azizah berkata, Felda adalah satu contoh yang terang-terang menunjukkan cengkaman Umno kepada orang Melayu.

Kata beliau, apabila Allahyarham Tun Abdul Razak memulakan konsep tanah perancangan, tujuannya adalah untuk memberikan tanah kepada orang miskin agar mereka mempunyai aset untuk bergiat dalam kegiatan ekonomi.

Maka peneroka yang menyertai skim akan berpeluang memiliki tanah sendiri untuk diusahakan apabila melaksanakan tanggungjawab masing-masing; termasuklah membuka tanah dan sebagainya, kata Dr Wan Azizah lagi.

Kata beliau pada awalnya, fungsi Felda dan lembaga perancangan yang lain adalah untuk memberikan bantuan agar rakyat miskin ini dapat mengusahakan tanah yang dibuka mereka.

Wan Azizah juga berkata, falsafahnya jelas iaitu skim tanah perancangan adalah bertujuan untuk memberikan hak milik tanah kepada orang miskin agar dapat bergiat dalam sektor pertanian.

“Empat puluh tahun kemudian, apa yang telah berlaku?” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, kerisauan orang Melayu, akibat hasutan musuh dan propaganda media perdana bukan sedikit.

“Kita perlu menerangkan dasar parti kepada rakyat khususnya orang Melayu, melalui program-program yang berkesan.

“Mereka harus tahu, parti kita jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, malah Landasan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, secara terbuka mengiktiraf kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, seperti mana terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, Umno menghasut rakyat bahawa kononnya “kita menggadaikan kepentingan orang Melayu, apabila kita berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) wajar dihapuskan.”

“Kita harus meyakinkan rakyat, kita menentang DEB kerana ia gagal mencapai tonggak utamanya, yakni menjaga kepentingan orang Melayu, dan pelaksanaan memperkayakan keluarga pemimpin dan kroni Umno dan meminggirkan rakyat termasuk Melayu, Orang Asal, Dayak, Iban, Kadazan dan lain-lain.

“Orang Melayu dan Bumiputera telah ditipu sekian lama oleh Umno yang mahukan orang Melayu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata; kerana Umno sedar tatkala orang Melayu mula yakin dengan kemampuan mereka dan tidak lagi memerlukan sokongan ahli politik Umno,” katanya.

Oleh itu katanya, dasar ekonomi mereka adalah curahan bantuan kecilan agar rakyat terus mengharap dan bergantung, tidak merdeka dari segi ekonomi.

Dr Wan Azizah seterusnya memberitahu persoalan kedudukan orang Melayu adalah persoalan jati diri dan daya saing.

“Orang Melayu perlu berdaya saing dan dilengkapi ciri-ciri ilmuan, kreatif dan inovatif. Keadilan berjuang untuk membina jati diri, dan asas kekuatan ekonomi orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Contohnya, peruntukan saham orang Melayu telah diselewengkan oleh beberapa kerat sahaja sedangkan majoriti orang Melayu berputih mata. Ketirisan yang berlaku terlalu teruk, hinggakan daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan; hari ini hanya tinggal RM2 billion sahaja yang kekal di tangan Bumiputera,” katanya.

“Apa akibatnya jika pendekatan ini diteruskan?” katanya lagi.

Dr Wan Azizah menambah, persoalan membina jati diri, dan daya saing, adalah persoalan kaedah — sebab itu Keadilan telah menyediakan kaedah baru untuk membina jati diri dan daya saing orang Melayu dan Bumiputera.

“... melalui Agenda Ekonomi Malaysia. Menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk membawa hujah bahawa kaedah melalui agenda ekonomi ini adalah yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi