Bahasa

Wanita terlepas dari tuduhan bunuh bayi dalam tandas

January 25, 2011

GEORGE TOWN, 25 Jan — Seorang wanita muda menitis air mata dan menadah tangan tanda syukur apabila Mahkamah Tinggi hari ini membebas dan melepaskannya dari tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya dalam tandas kilang tempatnya bekerja dua tahun lepas.

Nurul Syuhada Shamsudin, 21, tidak dapat menahan sebak sebelum dipeluk oleh ibu dan ayahnya dalam mahkamah itu setelah gari tangannya dibuka oleh anggota polis selepas Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membaca penghakiman.

Terdahulu, Zamani dalam keputusannya berkata mahkamah membebaskan dan melepaskan Nurul Syuhada setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Setelah mendengar keterangan pendakwaan dan hujah bertulis, mahkamah mendapati terdapat dua situasi yang berlaku iaitu sama ada bayi itu mati sebelum lahir ataupun mati selepas lahir dan dalam kedua-dua situasi itu, saksi iaitu Pakar Patalogi mentakrifkan bahawa bayi yang dikatakan lahir hidup ialah bayi yang boleh bernafas dengan sendiri selepas keluar dari rahim ibunya,” kata beliau.

Katanya menurut laporan patalogi kematian bayi itu adalah disebabkan lemas namun adalah tidak dapat dipastikan sama ada bayi itu mati sebelum keluar dari rahim ibu atau mati selepas keluar dari rahim ibu dengan mempunyai elemen-elemen membunuh menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nurul Syuhada berasal dari Parit Buntar, Perak, didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya antara 3 pagi hingga 7 pagi pada 31 Disember 2009, di dalam tandas perempuan di kilang Jabil Circuit, Bayan Lepas di sini.

Mayat bayi tersebut dijumpai tersangkut dalam lubang tandas kira-kira 2.15 petang keesokan harinya oleh seorang tukang cuci selepas menerima aduan tandas tersumbat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar manakala Nurul Syuhada diwakili peguam E. Gunasegaran. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi