Warga emas maut diserang anjing pitbull ketika berjogging
PETALING JAYA, 8 Mei — Seorang warga emas hari ini maut akibat diserang seekor anjing jantan jenis Pitbull ketika berjoging di sekitar kawasan taman perumahannya.
Ketika kejadian 9.50 pagi itu, Yip Sun Wah, 74, berjoging bersendirian di Taman Seksyen 19/5b, Subang Jaya, dekat sini, sebelum diserang anjing berkenaan yang muncul dari tempat pembuangan sampah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mati akibat digigit pada bahagian leher dan telinga kanan selepas bergelut kira-kira dua minit.
“Semasa kejadian berlaku dipercayai pemilik anjing berkenaan tidak sedar dan saya difahamkan pemilik anjing mempunyai lesen yang sah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Yahaya berkata anjing itu kini ditangkap dan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan
Veterinar untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 304(A) kanun keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, anak mangsa Yip Hon Mun, 51, berkata sebelum ini ayahnya sering joging di kawasan perumahan itu dari pukul 9 hingga 11 pagi secara bersendirian.
“Saya berasa cukup kesal dengan kejadian ini, dan saya minta pemilik anjing berkenaan meminta maaf kepada keluarga kami atas kejadian ini kerana ia melibatkan kematian,” katanya.
Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Eddy Wang, ketika kejadian beliau sedang menunggu rakannya di dalam kereta sebelum melihat anjing itu menyerang seorang lelaki yang sedang berjogging.
“Masa saya nampak kejadian itu saya terus keluar dan ambil payung di dalam kereta...saya pukul anjing itu tidak henti-henti tetapi anjing tersebut tetap tidak melepaskan mangsa,” katanya.




