Bahasa

Warga Indonesia mesti patuhi undang-undang perkahwinan

Mana-mana warga asing yang ingin berkahwin di Kuala Lumpur perlu melalui prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. – Gambar ReutersMana-mana warga asing yang ingin berkahwin di Kuala Lumpur perlu melalui prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. – Gambar Reuters

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Meskipun niat asal mereka hanyalah mencari rezeki bagi membantu keluarga di kampung halaman masing-masing, ramai rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini terpaksa akur kepada ‘jodoh pertemuan’ dan ketentuan kehidupan untuk membina keluarga.

Aspek persamaan bahasa dan budaya yang diamalkan sejak turun-temurun malahan keturunan serumpun menarik keinginan warga Indonesia untuk membina keluarga dan berkahwin dengan warga tempatan di sini.

Kepelbagaian budaya, agama dan bangsa yang unik menjadikan rakyat Malaysia lebih terbuka dan boleh menerima serta hidup dalam suasana harmoni dengan masyarakat negara lain menjadikan ramai warga asing senang dan selesa untuk bermastautin di sini.

Adalah tidak menghairankan jika Malaysia menjadi pilihan utama bagi rakyat Indonesia untuk datang mencari pekerjaan dan berhijrah ke negara ini.

Memetik laporan media tempatan baru-baru ini terdapat kira-kira antara 2.5 ke tiga juta pekerja asing di Malaysia dengan kira-kira 70 peratus terdiri daripada warga Indonesia dianggarkan mengirim wang tidak kurang RM6 bilion setahun.

Menurut Kaunselor Kedutaan Indonesia di Malaysia Dino Nurwahyudin berkata setiap perkahwinan itu perlu berlandaskan kepada hukum dan undang-undang kedua-dua buah negara yang merupakan negara berdaulat.

“Di sini kami ingin tekankan kepada warga kami bahawa mereka (warga Indonesia) itu berada di Malaysia kerana negara ini (Malaysia) adalah sebuah negara berdaulat yang mempunyai hukum nasional yang harus kita hormati jadi apa yang telah disampaikan oleh pemerintah Malaysia sangat kami hargai,” katanya kepada Bernama.

Dino merupakan daripada tiga anggota panel jemputan bual bicara ‘Status Perkahwinan Warga Indonesia di Malaysia’ yang diadakan baru-baru ini. Dua lagi anggota ialah Direktor Urusan Agama Islam dan Pembinaan Syariah Indonesia Muchtar Ali dan Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Ustaz Abdullah Hashim.

Program anjuran Agensi Berita Indonesia (Antara) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini dihadiri kira-kira 100 warga Indonesia.    

Mengulas lanjut beliau berkata program bual bicara sehari, yang julung kali diadakan itu, bertujuan memberi penjelasan dan penerangan kepada warga Indonesia yang berkahwin di negara ini.

Dino berkata pada era globalisasi, penghijrahan individu dari negara asal ke negara lain adalah normal dan mereka berhak memperoleh pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, Abdullah berkata kebiasaannya masalah timbul apabila perkahwinan itu tidak didaftarkan di pejabat agama.

“Apabila perkahwinan itu berlaku dengan mana-mana warga Malaysia bersama warga asing yang tidak dilaporkan di Malaysia menyebabkan perkahwinan itu ada sedikit masalah jika tidak didaftarkan. Apabila berlaku perceraian, timbul   isu seperti hak penjagaan anak dan pemberian nafkah,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa perkahwinan yang tidak berdaftar secara sah perlu dilaporkan di Mahkamah Syariah terlebih dahulu untuk membuat pengesahan bagi mengelakkan perkahwinan berkenaan menjadi ‘perkahwinan sindiket’.

Perkahwinan sindiket merujuk perkahwinan yang diuruskan oleh pihak yang tidak mempunyai tauliah bagi mendaftarkan sesuatu perkahwinan.  Abdullah berkata mana-mana warga asing yang ingin berkahwin di Kuala Lumpur perlu melalui prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Seorang warga Indonesia Jamilah Jamaluddin, 41, berasal dari Medan berkata sebelum ini dia agak keliru dan tidak memahami prosedur perkahwinan melibatkan rakyat Malaysia dan Indonesia kerana kurang diberi penjelasan.

“Program seperti ini memang bagus diteruskan kerana kita selalu menghadapi masalah seperti ini dan tidak tahu untuk merujuk kepada siapa jika berdepan dengan masalah tersebut,” katanya yang telah menetap di negara ini hampir 19 tahun.

Berkongsi pendapat sama, seorang ahli perniagaan Shrof Namat, 50, berkata perkahwinan adalah suatu perkara penting dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan soal kehidupan dan zuriat.

Katanya penjelasan yang tepat daripada barisan ahli panel dalam program ini membuka ruang dan peluang untuk mereka mengutarakan masalah serta berkongsi pengalaman. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.