Bahasa

Warga kementerian diminta terus komited jalankan amanah

April 18, 2013

KUALA LUMPUR, 18 April — Warga Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) diingatkan supaya terus komited dalam menjalankan amanah dengan tidak condong melakukan perkara yang boleh memudaratkan pembangunan negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) berkata sebagai penjawat awam di kementerian yang paling tinggi mempromosi gagasan 1Malaysia, petugas dari 18 jabatan dan agensi di bawah kementerian itu perlu memastikan mutu perkhidmatan terus meningkat dan bebas daripada permainan politik.

Menyifatkan KPKK sebagai kementerian yang paling dekat dihati setelah berkhidmat di bawah lima perdana menteri, beliau berkata setiap petugas perlu memahami matlamat utama menyertai kementerian itu, iaitu menjuarai segmen menyebar luaskan setiap agenda dan perubahan yang dilakukan kerajaan.

“Kita kena tahu, perkhidmatan awam sebenarnya mempunyai kedudukan tersendiri dalam perlembagaan negara dan sebagai penjawat awam kita perlu pastikan mutu perkhidmatan yang diberi harus sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Untuk itu, perkhidmatan awam tidak boleh dibenarkan condong kepada memudaratkan negara kerana masa depan Malaysia adalah berkait rapat dengan perkhidmatan awam yang kukuh,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan 2012 di Istana Budaya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis bertemakan “Modal Insan Berprestasi, Pemacu Transformasi” itu ialah Datin Seri Masnah Rais, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.

Rais berkata sumbangan petugas di bawah KPKK yang melebihi 16,000 orang telah membantu beliau diangkat sebagai menteri yang paling berprestasi tinggi tahun lepas dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 159 mata.

Beliau berkata pengiktirafan yang diterima bukanlah hak peribadi beliau seorang tetapi adalah sumbangan secara kolektif petugas KPKK secara keseluruhan.

“Untuk itu teruskanlah perkhidmatan cemerlang ini, dan ingat, dalam berkhidmat kita perlu berpegang pada prinsip serta kekal di laluan yang positif dengan bekerja penuh ketelusan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 1,020 petugas dari jabatan dan agensi di bawah KPKK dari seluruh negara menerima sijil simpanan premium bernilai RM1,000 dan sijil anugerah perkhidmatan cemerlang. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi