Bahasa

Warga Nepal bunuh diri: Tenaganita salahkan agensi pekerja asing

Kurangnya empati yang ditunjukkan pihak berkuasa dan rakyat Malaysia amnya mungkin menjadi penyebab yang mendorong seorang pekerja warga Nepal membunuh diri di Taman Tun Dr Ismail minggu lalu, kata Tenaganita.

Organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan hak pekerja asing dan wanita itu berkata, kekurangan penguatkuasaan terhadap agensi pekerjaan yang mengeksploitasi pekerja asing adalah sebab utama pekerja asing berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tertekan.

“Pekerja ini dieksploitasi. Keperluan amat mendesak untuk sistem kita disemak semula dan kerajaan perlu bertanggungjawab,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez (gambar).

Seorang warga Nepal berusia 30 tahun terjun dari bumbung kedai di Jalan Tun Mohd Fuad 1 di Taman Tun Dr Ismail pada pagi Rabu lalu.

Berdasarkan kepada laporan, warga Nepal itu membuat keputusan untuk mengakhiri hidupnya sendiri selepas terbeban dengan hutan yang banyak dan bimbang dengan tindakan tegas pihak berkuasa terhadap pendatang asing.

“Polisi di Malaysia menyatakan bahawa pekerja asing perlu masuk ke egara ini menerusi agensi mencari pekerjaan dan di situlah sebenarnya semua masalah bermula,” kata Fernandez.

“Mereka membayar antara RM5,000 hingga RM8,000 kepada ejen, bergantung kepada sektor pekerjaan mereka. Biasanya warga Nepal memilih untuk bekerja dalam industri keselamatan kerana bayarannya lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, daripada banyak aduan yang dikendalikan Tenaganita, ia mendedahkan bahawa banyak warga Nepal dibawa masuk untuk bekerja di sektor perladangan walaupun di visa mereka tercatat sebaliknya.

“Pekerja asing tidak sedar mengenai perkara ini sehingga mereka dibawa masuk ke dalam negara dan disuruh bekerja di sektor yang lain.

“Mereka tidak bantah. Mereka diam dan bekerja di mana sahaja yang diarahkan demi keluarga di kampong dan untuk membayar hutang kepada ejen.

“Masalah bermula apabila mereka kehilangan kerja. Mereka tahu tidak boleh meminta bantuan kepada pihak berkuasa kerana akan ditangkap dan dihantar pulang kerana menyalahgunakan visa.

“Apabila pihak berkuasa masuk campur, pekerja akan diambil permit kerja dan visa kemudian dihantar pulang. Kisah mereka tidak akan didengar,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Fernandez berkata, ini adalah sebab mengapa Tenaganita sering mempersoalkan prosedur pengambilan kerja dan undang-undang yang diamalkan dalam negara.

Beliau menekankan bahawa syarikat yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan pekerja asing perlu melakukannya sendiri secara terus.

“Tetapi, undang-undang sedia ada dan birokrasi tidak membenarkan perkara itu, meletakkan pekerja dalam keadaan sangat lemah dan tiada pilihan,” katanya.

Fernandez berkata, beliau tidak terkejut jika ada kemungkinan kejadian membunuh diri di kalangan pekerja asing akan meningkat selepas ini jika proses pengambilan kerja tidak disemak secepat mungkin.

“Pekerja terbabit yang membunuh diri mesti berasakan dirinya berada dalam keadaan putus harapan, kerana tidak ada duit untuk menyara diri. Dia tidak ada dokumen sah dan dengan pihak berkuasa memburu pendatang asing, dia sedar keadaannya sudah tiada harapan,” katanya.

Kejadian bunuh diri warga Nepal itu mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan warga internet, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan Taman Tun Dr Ismail, kerana ada laporan mendakwa ramai yang mengejek dan mendorong ketika melihat warga Nepal itu berdiri di atas bumbung sebelum membunuh diri.

Ada juga komen menyatakan betapa warga internet di Taman Tun Dr Ismail `tidak berhati perut’ berhubung kejadian itu. – 13 September, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.