Bahasa

Yayasan akan semarakkan kegiatan rakyat dengan rakyat Malaysia-Indonesia

June 01, 2012

JAKARTA, 1 Jun — Kegiatan di peringkat rakyat dengan rakyat Malaysia dan Indonesia akan disemarakkan pada tahun ini dan tahun hadapan melalui Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (Yirmi), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya Yirmi yang dijangka selesai proses pendaftarannya dalam masa dua minggu ini, ditubuhkan dengan tujuan meluaskan bidang penerangan kemasyarakatan, memperhebat usaha sosio-ekonomi dan sosio-budaya, serta menyediakan peluang latihan yang berterusan dalam bidang seni dan budaya untuk generasi muda.

Rais berkata beliau sendiri akan menaungi yayasan itu sebagai pengasas dan lembaganya akan dipengerusikan seorang tokoh yang berkebolehan, manakala anggotanya pula akan terdiri daripada beberapa pihak, yang mewakili pelbagai kepentingan masyarakat.

Keanggotaannya termasuk wakil dari Yayasan Al-Bukhary yang mempunyai kecenderungan dalam bidang warisan dan seni budaya, wakil pegawai Kementerian Penerangan yang bukan jawatan formal, wakil daripada badan seni dan budaya serta wakil dari Iswami (Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia).

“Kami tidak mahu menjadikan yayasan ini terkongkong oleh pentadbiran yang begitu kronik atau birokratik yang akan mengikat pelbagai pihak.

“Kita akan lebih berorientasikan program, jadi selepas ini kita akan ke kepulauan Maluku, di Indonesia untuk membuat persembahan seni budaya dan dari sini (Indonesia) pula kita akan minta beberapa orang menyertai yayasan ini, misalnya seorang wakil dari Sumatera, seorang wakil dari Jawa dan seorang lagi sama ada dari Maluku atau Kalimantan,” katanya.

Menteri itu (gambar) berkata untuk permulaan, yayasan berkenaan akan mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM2 juta di mana separuh daripada jumlah itu adalah sumbangan pelbagai pihak, manakala separuh lagi akan ditambah oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebuadayaan.

Semua sumbangan kepada yayasan itu akan dikecualikan daripada cukai pendapatan, katanya.

Rais berkeyakinan para anggota yayasan itu akan memainkan peranan masing-masing sebagaimana yang diharapkan bagi menjayakan program-program yang bakal dirancang nanti.

Yayasan itu, katanya, akan turut menaja kajian da penyelidikan tentang seni dan budaya selain menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia yang berasaskan kepada nahu dan pemakaian yang biasa. “Kami juga akan membuat penyelidikan berhubung sejarah bangsa, sejarah budaya dan sejarah penulisan yang berkaitan dengan pembinaan sebuah bangsa yang utuh.

“Kalau kita lihat banyak aspek penggunaan bahasa kita yang sudah pupus, peribahasa misalnya, setakat mana peribahasa kita di Indonesia menerusi sekolah digunakan pula di Malaysia dan dapat merasai kekitaan,” katanya.

Rais yakin Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia mampu merapatkan hubungan peringkat rakyat di kawasan nusantara dan dunia Melayu pada amnya.

“Kalau bahasa Mandarin boleh mengikat Singapura dengan China dan Taiwan, kenapa Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia tidak boleh mengikat Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, Afrika Selatan, Sri Lanka dan tempat-tempat lain.

“Dengan lain perkataan Yirmi ini akan kita jadikan sebagai bahterakeMelayuan nusantara, bagi kita meletakkan foot print atau tapak kaki kita di dunia sebelah sini,” katanya.

Rais yang berada di sini dalam rangka lawatan tiga hari, turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring, mengenai usaha untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang penerangan dan komunikasi yang turut merangkumi seni dan budaya.

Malam tadi kedua-dua menteri itu bersama-sama menonton filem berjudul “Gerimis Mengundang”, sebuah filem terbitan Malaysia yang menggandingkan bakat bintang filem Malaysia dan Indonesia mengenai kisah masyarakat di kedua-dua negara.

Penayangan filem itu, yang pertama di Indonesia sejak kira-kira 40 tahun lalu selepas filem “Hapuslah Air Matamu” yang dibintangi penyanyi Sharifah Aini dan Brorey Marantika, disifatkan Rais sebagai langkah pertama yang penting untuk perkembangan kemajuan penerbitan filem secara bersama mengenai kisah hidup masyarakat dari kedua-dua negara. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi