Bahasa

YGP bukan isu kecuaian, hanya masalah dokumentasi, kata Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Berikutan isu syarikat milik Pemuda Umno YGP Holding yang melanggar Akta Syarikat 1965, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini menjelaskan perkara itu bukanlah isu besar, sebaliknya syarikat yang turut meletakkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebagai pengarah itu mempunyai masalah dokumentasi ekoran lembaga pengarah yang sering bertukar.

Jelas Ahli Parlimen Kota Belud itu lagi, kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan penyata kewangannya sejak 31 Disember 2006 adalah disebabkan sering berlakunya pertukaran kepimpinan tertinggi, dan bukannya atas faktor syarikat tersebut bermasalah.

“Ia hanya melibatkan isu dokumentasi ... ia (YGP Holding) sering mengalami penukaran lembaga pengarahnya.

“Selepas ada pemilihan parti, ia akan bertukar kepimpinan, ada orang baru yang masuk ... proses dokumentasi menjadi sedikit sukar,” katanya yang ditemui selepas sidang Parlimen hari ini.

Tambah Rahman, syarikat yang juga pernah diterajui oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa memegang jawatan dalam Pemuda Umno itu turut mempunyai kesukaran mendapatkan penyata kewangan daripada institusi perbankan kerana ada sesetengah bank yang tidak lagi wujud.

“Ada bank yang dah tak wujud, (bagaimanapun) kami sedang usahakan perkara itu.

“Tapi kami jamin tidak menerima dana asing,” katanya lagi.

Beliau juga melihat tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membangkitkan perkara itu hanyalah sebagai “taktik politik murahan” untuk mengalihkan isu Suaram.

“Ia politik murahan yang digunakan Tony Pua untuk mengalihkan isu Suaram,” tegasnya, dan menambah YGP Holding juga tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan, dan Koperasi (KPDNKK) semalam enggan menjawab pertanyaan ahli Parlimen pembangkang sama ada akan mengambil tindakan terhadap YGP Holdings Sdn Bhd kerana tidak menghantar laporan kewangan mereka - sama seperti kesalahan dilakukan Suara Inisiatif Sdn Bhd.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri seakan-akan mengelak apabila ditanya adakah kementeriannya akan mengambil tindakan sama terhadap YGP Holdings, seperti yang dilakukan kementerian itu kepada Suaram.

“Kita tiada membezakan antara mana-mana syarikat ... kita akan siasat sekiranya ada aduan.

“Soal syarikat lain, kita siasat dan ambil tindakan, lebih kurang 200 syarikat, bezanya syarikat ini orang heboh, syarikat lain orang tak heboh,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Bagaimanapun, ketika Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (gambar) cuba meminta kepastian kementerian akan ambil tindakan terhadap YGP dan juga NFCorp, Ismail hanya berkata; “.... YGP ke,  kalau tak “compliant” sila maklumkan kepada kita.”

Beliau turut berkata, sekiranya ada mana-mana syarikat melanggar Akta Syarikat, kementeriannya akan mengambil tindakan.

Pua sebelum ini mendedahkan YGP Holdings, yang dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersama Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai pengarah, tidak mengemukakan penyata kewangannya sejak 31 Disember 2006.

Sementara itu, National Feedlot Corporation (NFCorp) jelas Pua juga turut dinyatakan melanggar akta itu kerana tidak mengemukakan penyata kewangannya sejak 31 Disember 2009.

Pua turut menjelaskan, tindakan KPDNKK mengambil tindakan terhadap Suaram hanyalah sebagai “agenda politik” Barisan Nasional (BN).

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.